Thursday, October 30, 2008

Lebuh raya: "Win win situation" kepada pihak kerajaan dan pemegang konsesi


Lebuh raya merupakan jalan pintas yang dibina oleh pihak kerajaan untuk kemudahan pengguna jalanraya, sangat berguna terutama kepada pengguna selain daripada mereka yang bermotosikal. Ini kerana para pengguna mampu mengelak daripada bertembung dengan lampu isyarat, masuk persimpangan baru, melalui penempatan orang ramai dan sebagainya. Ringkasnya, tol mampu memendekkan perjalanan kita untuk tiba ke sesuatu tempat.

Tetapi, pengguna perlu membayar untuk menggunakan kemudahan tersebut. Ini yang menjadi rungutan para pengguna, terutamanya bagi lebuhraya yang dibina di tengah-tengah bandar. Cuba kita bandingkan antara LDP (Lebuhraya Damansara Puchong) sebagai contoh berbanding dengan PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan).

LDP menghubungkan Damansara dengan Puchong yang mana jarak antara kedua-dua tempat tersebut kurang dari 50 km, sementara PLUS menghubungkan Johor Bahru dengan Bukit Kayu Hitam dengan jarak lebih 800 km.

LDP digunakan oleh penduduk sekitar Damansara/Puchong yang dengan kekerapan yang agak tinggi, dan mungkin lebih daripada sekali setiap hari, bergantung kepada destinasi yang hendak dituju. Mereka akan terpaksa membayar tol sekiranya melalui tempat membayar tol yang terletak di Damansara/Puchong. Sepanjang laluan tersebut terdapat penempatan penduduk, pejabat juga kompleks membeli belah.Jadi sudah semestinya laluan tersebut agak sesak terutamanya pada waktu-waktu puncak.

Apa yang dipersoalkan disini ialah dimanakah fungsi lebuhraya sebagai jalan pintas bilamana pengguna laluan tersebut turut sama terperangkap dalam kesesakan jalanraya, terutamanya menjelang waktu puncak, dan ada kalanya diluar waktu puncak juga. Ini amat berbeza dengan PLUS yang hanya mengalami kesesakan menjelang musim perayaan, dan juga kadangkala ketika waktu puncak untuk sesetangah jarak sahaja.

Jadi sebagai alternatif, mengapa tidak tol dikecualikan atau diberi diskaun kepada para pengguna yang melalui tol-tol tersebut ketika waktu puncak. Keadaan ini amat mendesak terutamanya bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang. Mereka hidup dikelilingi oleh lebuhraya seperti LDP, NPE (New Pantai Expressway), KeSAS (Lebuhraya Kelang Shah Alam).

Sudahlah perjanjian antara pemegang konsesi dan pihak kerajaan diklasifikasikan sebagai OSA (Akta Rahsia Rasmi) sebelum ini, dan semua kenderaan yang melalui tol tersebut (tidak kira 100 000 seminggu atau 250 000 seminggu sebagai contoh) kesemuanya untung diambil oleh pemegang konsesi. Mengapa tidak dibuat formula sebagai contoh:

a. 100 000 kenderaan pertama dikenakan cas penuh (balik modal untuk membayar pinjaman bank)
b. 200 000 kenderaan berikutnya dikenakan cas 75 % (mula mendapat untung)
c. Selebihnya dikenakan cas 50 % (Untung yang seterusnya)

Perlu ditegaskan disini, tugas menyediakan kemudahan awam terletak di bahu pihak kerajaan. Walaubagaimana pun, kerajaan tidah boleh melepaskan terus tanggungjawab mereka dan terus menerus menekan rakyat dengan kenaikan kadar tol selang beberapa tahun.

Di pihak pemegang konsesi, sekiranya berniaga membuat lebuhraya merupakan satu perniagaan yang pasti menjamin keuntungan, ini sudah tidak dikira sebagai perniagaan. Perniagaan semestinya melibatkan perkiraan untung rugi bukan?