Friday, August 29, 2008

Selamat berpuasa politician BN & PR

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh warga Malaysia, terutamanya kepada para pemimpin politik BN (Barisan Nasional) dan juga PR (Pakatan Rakyat) yang beragama Islam.

Politik negara cukup hangat terutamanya sejak tsunami 8 Mac 2008, sehinggalah kepada kembalinya bekas TPM, Anwar Ibrahim ke Parlimen 26 Ogos lepas. Bermula dari pilihanraya, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan MP (Ahli Parlimen) dipilih oleh rakyat. Dari kalangan ADUN, Exco kerajaan negeri dan Menteri Besar dilantik. Kalangan MP pula dilantik bagi jawatan Timbalan Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga Perdana Menteri.

Dengan kedudukan kerajaan yang kurang 2/3 ahli dalam dewan rakyat, dan kembalinya Anwar Ibrahim ke Parlimen selepas 10 tahun, kedua-dua BN dan PR sepatutnya duduk bersama untuk membincangkan segala dasar dan langkah yang bakal diambil kearah kesejahteraan rakyat.

Dengan kehadiran bulan puasa yang mana semua umat Islam tidak makan dan tidak minum, tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status, seharusnya pemimpin-pemimpin politik tersebut (terutamanya yang memegang kuasa) dapat menyelami kesengsaraan rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang dan inflasi.

Pihak kerajaan dengan bantuan pihak pembangkang perlu duduk bersama untuk mencari jalan bagi meringankan beban rakyat. Ingatlah bahawa tanpa sokongan rakyat, belum tentu kamu akan menduduki jawatan yang kamu miliki kini. Sekiranya gagal, eloklah kamu meletakkan jawatan untuk memberi peluang pihak lain mengambil alih teraju kepimpinan.

Ingatlah, sebagai pemimpin kamu akan ditanya dan dipersoalkan lebih banyak di akhirat kelak berbanding dengan kami rakyat biasa, kerana segala tindak-tanduk kamu besar impaknya kepada kami sekalian yang berada di bawah.