Friday, August 29, 2008

Selamat berpuasa politician BN & PR

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh warga Malaysia, terutamanya kepada para pemimpin politik BN (Barisan Nasional) dan juga PR (Pakatan Rakyat) yang beragama Islam.

Politik negara cukup hangat terutamanya sejak tsunami 8 Mac 2008, sehinggalah kepada kembalinya bekas TPM, Anwar Ibrahim ke Parlimen 26 Ogos lepas. Bermula dari pilihanraya, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan MP (Ahli Parlimen) dipilih oleh rakyat. Dari kalangan ADUN, Exco kerajaan negeri dan Menteri Besar dilantik. Kalangan MP pula dilantik bagi jawatan Timbalan Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga Perdana Menteri.

Dengan kedudukan kerajaan yang kurang 2/3 ahli dalam dewan rakyat, dan kembalinya Anwar Ibrahim ke Parlimen selepas 10 tahun, kedua-dua BN dan PR sepatutnya duduk bersama untuk membincangkan segala dasar dan langkah yang bakal diambil kearah kesejahteraan rakyat.

Dengan kehadiran bulan puasa yang mana semua umat Islam tidak makan dan tidak minum, tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status, seharusnya pemimpin-pemimpin politik tersebut (terutamanya yang memegang kuasa) dapat menyelami kesengsaraan rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang dan inflasi.

Pihak kerajaan dengan bantuan pihak pembangkang perlu duduk bersama untuk mencari jalan bagi meringankan beban rakyat. Ingatlah bahawa tanpa sokongan rakyat, belum tentu kamu akan menduduki jawatan yang kamu miliki kini. Sekiranya gagal, eloklah kamu meletakkan jawatan untuk memberi peluang pihak lain mengambil alih teraju kepimpinan.

Ingatlah, sebagai pemimpin kamu akan ditanya dan dipersoalkan lebih banyak di akhirat kelak berbanding dengan kami rakyat biasa, kerana segala tindak-tanduk kamu besar impaknya kepada kami sekalian yang berada di bawah.

2 comments:

Pemuda Malaysia said...

Heboh di dalam media elektronik dan media cetak bahawa Brother Anwar Bin Ibrahim (BABI) ingin menjadikan 16 September 2008 ini sebagai cuti umum untuk seluruh Malaysia bagi meraikan kejayaan beliau menjadi Perdana Menteri dan menjadikan hari itu adalah ulang tahun penubuhan Malaysia. Negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang seperti Pulau Pinang dan Kelantan sudah menyokong cadangan yang dibawa oleh BABI ini. Sebenarnya ada perkara lebih penting untuk saya ketengahkah dalam artikel kali ini. Segala yang saya coretkan di bawah ini adalah pandangan peribadi saya dan saya ingin berkongsi pendapat dengan pembaca-pembaca sekalian.

Sebenarnya cerita 16 September adalah retorik semata-mata yang ditimbulkan oleh BABI. Ini bagi memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi tidak tentu arah dan berada dalam keadaan kegusaran. Apabila kerajaan merasakan segala rancangan BABI seakan benar dan nyata, maka kerajaan tiada pilihan lain kecuali mengisytiharkan darurat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin. Ini kerana rancangan BABI untuk mengambil alih pentadbiran negara melalui 'pintu belakang' amat tidak beretika dan boleh meletakkan negara dalam keadaan kacau bilau.

Sebenarnya BABI seorang yang amat licik dalam medan politik. Selepas dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004, beliau telah merangka rancangan yang cukup besar bagi mencapai cita-cita menjadi PM. Bak kata mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa "BABI ini seorang yang cukup licik. Beliau boleh menukar sesuatu perkara daripada salah menjadi betul dan begitu sebaliknya". Mengapa BABI mengisytiharkan untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh? Ini kerana beliau ingin 'test market' dan menilai sokongan rakyat kepada beliau. Keputusan menyebelahi BABI dan beliau menang malahan melebihi majoriti yang diterima oleh isteri beliau. Walaupun ketika dalam suasana pilihanraya kecil itu, BABI menghadapi dakwaan terhadap kes liwat, sokongan terhadap beliau tetap tidak berubah dan dengan ini menjadikan beliau yakin bahawa kekuatan politik beliau semakin kukuh dan kuat.

Setelah berjaya memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh, BABI menyusun langkah untuk menduduki kerusi PM dalam masa terdekat. Cara yang dimainkan oleh beliau dapat kita lihat sekarang ini. Beliau menghebohkan bahawa pada 16 September ini akan ada 30 Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak akan melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang. Sebenarnya perkara ini sukar untuk terjadi kerana kebanyakan Ahli Parlimen BN amat setia terhadap parti dan memegang janji serta mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka. Isu lompat parti telah dinafikan oleh Ahli Parlimen BN daripada Sabah dan Sarawak.

Selepas itu, BABI menyatakan pula bahawa ada juga Ahli Parlimen daripada Semenanjung terutama daripada Terengganu akan menyertai Pakatan Rakyat. Kecanggihan teknologi hari ini seperti penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk melaga-lagakan pemimpin di dalam BN. Maka, pada beberapa hari lepas telah dilakukan upacara mengumpul tandatangan Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak untuk menyatakan taat setia kepada PM dan BN. Perkara ini mencetuskan kontroversi di mana salah seorang daripada Ahli Parlimen Sabah yang bernama Datuk Anifah Aman tidak mahu menandatangani akujanji tersebut dan menyatakan bahawa tidak perlu diragui lagi kesetiaan Ahli Parlimen BN daripada Sabah dan Sarawak kepada PM.

Pada pandangan saya, tandatangan bagi menyatakan kesetiaan Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak tidak perlu dilakukan kerana ia hanya membuatkan BABI tergelak besar kerana berjaya mewujudkan keadaan ribut dalam kem BN. Apa yang saya cuba syorkan di sini adalah, kerajaan BN tidak perlu melayan setiap ungkapan atau propaganda yang dimainkan oleh BABI kerana hanya akan memerangkap kerajaan BN sendiri.

Mengapa BABI cukup suka jika kerajaan mengisytiharkan darurat pada 16 September ini? Ini kerana apabila kerajaan mengisytiharkan darurat, separuh daripada rancangan BABI akan berjaya. Maka, separuh lagi rancangan BABI akan menjadi kenyataan apabila kerajaan terpaksa mengadakan pilihanraya umum yang baru selepas darurat ditarik balik. Apabila darurat, pentadbiran kerajaan akan diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan mengikut perlembagaan yang ada, pilihanraya akan diadakan semula selepas darurat ditarik semula. Ketika inilah BABI akan melaksanakan perang saraf yang cukup hebat bagi memastikan cita-cita beliau menjadi PM akan tercapai.

Harus diingat bahawa UMNO berada dalam keadaan yang cukup lemah akibat daripada perpecahan dalaman dan serangan daripada luar seperti perang saraf yang dilancarkan oleh BABI. Ini kerana BABI telah melihat bahawa ketika di Permatang Pauh kelemahan ketara jentera parti UMNO telah memudahkan lagi kemenangan beliau di sana. Di samping itu, parti komponen di dalam BN sendiri telah mula tidak percaya antara satu sama lain seperti Parti Gerakan dan MCA yang telah mengugut untuk keluar dari BN jika UMNO memainkan sentimen perkauman. Perkara ini amat menguntungkan BABI yang dijangka akan menang secara terhormat dalam pilihanraya umum yang akan diadakan dan beliau tidak perlu mengambil alih kerajaan Malaysia melalui 'pintu belakang' seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Kerajaan tidak harus terperangkap dengan permainan politik BABI kerana hanya akan menjerat kerajaan dan menguntungkan BABI. 16 September akan mendatang dan insya-Allah tiada apa-apa perkara akan berlaku kerana BABI hanya melakukan propaganda politik untuk agenda peribadi beliau. Tujuan BABI mencadangkan cuti umum pada 16 September bukan kerana untuk meraikan kejayaan beliau menjadi PM ataupun meraikan ulang tahun Malaysia TETAPI adalah untuk meletakkan kerajaan dalam keadaan tertekan dan seterusnya menyaksikan kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat. Apabila terjadi darurat, BABI akan melaksanakan perang saraf dengan menuduh kerajaan telah berlaku zalim dan mengisytiharkan darurat tanpa sebab. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan rakyat menjadi muak dan benci kepada kerajaan BN. Apabila perang saraf BABI berjaya, maka BN akan tumbang pada pilihanraya umum yang akan datang.

Jadi, kepada pengunjung blog Pemuda Malaysia saya cuba mengajak anda merenung kembali erti kemerdekaan yang kita kecapi selama 51 tahun ini. Tidakkah anda perasan kembalinya BABI ke medan politik negara lebih banyak melibatkan kemusnahan daripada keamanan. Kerajaan terpaksa menghabiskan duit untuk menghadapi pilihanraya kecil di Permatang Pauh akibat perletakan jawatan isteri BABI sesuka hati. Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Pak Lah diperlekehkan oleh si BABI dengan mengatakan ia gula-gula buat rakyat. Semua yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah di mata dan fikiran BABI. Semua yang dibuat BABI adalah betul kononnya. Jangan gadaikan negara ini semata-mata kerana seorang manusia bernama Anwar Bin Ibrahim yang hanya ingin membalas dendam dan mencapai agenda peribadi menjadi PM!!!

AnakWatan said...

1. Penentangan terhadap keharusan ISA adalah kerana kekeliruan akibat tidak dapat memahami fungsi dua kuasa iaitu kuasa esekutif (al-Sultah al-Tanfiziah) yang berasaskan maslahah umum dan kuasa perundangan (al-Sultah al-Qadaiyyah) yang mengenakan hukuman setelah disabit kesalahan mengikut prosedur mahkamah.

2. al-Qarafi dalam kitab al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa an al-Ahkam wa Tasarrufat al-Qadhi wa al-Imam, menghuraikan peranan kuasa esekutif (Ketua Negara) dengan menyatakan bahawa pemerintah merupakan wakil rakyat yang menguruskan seluruh urusan rakyat samada menjaga kepentingan umum dan membenteras segala perkara menggugatnya.

3. Bagi melaksanakan tugas menjaga agama dan mengurus negara sudah tentu ketua negara mempunyai bidang kuasa luas tanpa perlu diikat dengan prosedur-prosedur yang ketat sebagaimana dalam bidang kehakiman.

4. al-Qarafi menyatakannya lagi dalam kitab al-Ihkam

Maksudnya: “Ketua negara mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan fatwa. Ia juga boleh melakukan perkara-perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpun tentera, mengisytiharkan perang, memungut hasil dan membelanjakannya ditempat yang betul, melantik pegawai-pegawai, membunuh penderhaka, iaitu tugas yang tidak boleh dilakukan oleh hakim dan mufti”

5. Di antara tanggungjawab ketua negara ialah “Hisbah”. Ibu al-Qayyim dalam kitabnya al-Turuk al-Hukmiyyah menyatakan;

Maksudnya: “ Dan maksud hukum-hukum yang dijalankan dibawah kuasa hisbah adalah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaeadh di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian diikuti (dakwa di mahkamah) , maka kepentingan umat akan musnah dan system pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berdasarkan petanda-petanda yang jelas serta qarinah-qarinah yang boleh dijadikan keterangan (Circumastantial evidence).

6. Justeru, pemerintah boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan ummah. Sebagai contohnya telah diketahui bahawa seseorang itu adalah perancang pengeboman atau rusuhan tetapi tidak ada bukti kerana kemusnahan belum berlaku. Oleh itu, pemerintah boleh menahan perancang tersebut untuk mencegahnya sebelum berlaku.

7. Dalam hal ini juga, Dr. Saud bin Said al-Duraib dalam kitabnya at-Tanzim al-Qada’ fi Mamlakah as-Saudiyyah menyatakan;

Maksudnya: “Seseorang ketua negara dengan kuasa esekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mengasingkan (memenjarakan) orang yang menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar terhadap Sobiq bin Asal al-Tamimi kerana usahanya mengelirukan orang terhadap al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh mudharatkan masyarakat.

8. Penahan tanpa bicara harus dilakukan dalam kes harta benda sebagaimana yang dihuraikan oleh al-Syatibi dalam kitabnya al-Iktisom

Maksudnya: “ Sesungguhnya para ulamak berbeza pendapat mengenai keharusan memukul tertuduh dengan tuduhan jenayah. Imam Malik berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun tindakan itu merupakan sejenis penyiksaan. Malah sebahagian ulamak Maliki berpendapat bahawa pukul juga harus. Hukum ini pada pandangan ulamak Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang mengambil upah mengantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan (jika rosak atau hilang), kerana tanpa pukul dan penjara ketika ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin dapat dikembalikan harta daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan. Maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan siksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendapatkan kembali harta tersebut yang disembunyikan dan membuat pengakuan”.

9. a-Syatibi juga menolak dakwaan bahawa undang-undang tersebut boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya:

Maksudnya: “ Jika dikatakan ini membuka ruang kepada penyiksaan orang yang tidak bersalah. Jawapannya ialah tanapa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemiliknya. Malah tidak melaksanakan siksaan seperti itu lebih besar mudaratnya. Sebenarnya seseorang itu tidak disiksa dengan wujud dakwaan semata-mata sebaliknya perlu disertai dengan petanda-petanda (qarinah) yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sankaan yang kuat di dalam hati. Jadi siksaan pada lazimnya tidak mengenai orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelanggan”

Kesimpulannya penahanan tanpa bicara bagi kes yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam adalah lebih utama berbanding dalam kes harta benda sebagaimana yang diperbincangkan oleh al-Syatibi tadi. Malah keharusan menggunakan ISA boleh menjadi wajib apabila pemerintah mendapati keamanan dan keselamatan negara akan terjejas berasaskan kaedah usul fekah yang mengatakan sesuatu perkara yang tidak menyempurnakan perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu turut wajib. Wallahua’lam