Saturday, June 28, 2008

Pembukaan Starbucks di IPTA: Sokongan kepada ISRAEL!

Starbucks merupakan antara salah satu produk utama yang pernah disenaraikan untuk diboikot oleh PAS/Persatuan Pengguna Islam selain daripada Colgate dan Coca-cola. Ini kerana syarikat tersebut dikenal pasti membuat sumbangan secara langsung kepada negara Israel yang diketahui melakukan pencerobohan keatas negara Palestin sejak 60 tahun yang lalu.

Jadi kita sebagai umat Islam dan rakyat yang prihatin hendaklah melakukan protes sebagai tanda bantahan keatas kezaliman mereka. Sebagai rakyat biasa, langkah terbaik bagi kita mungkin untuk memboikot barangan mereka, yang mana akan memberi kesan kepada pulangan keuntungan dan membuatkan mereka berfikir semula kewajaran mereka untuk bersekongkol dengan Israel.

Saya bukanlah anti kepada perniagaan mereka, tetapi ini sebagai tanda protes umat Islam terhadap keceluparan pihak pengurusan Starbucks yang pernah mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan sebahagian daripada untung yang diperoleh untuk membantu "perjuangan" mereka di Palestin.

Perjuangan apa ini? Perjuangan untuk mengusir penduduk asal Palestin dari tanah air mereka sendiri?

Bagaimana kita sebagai sebuah negara Islam (yang juga bekas Pengerusi OIC) yang menentang keras pencerobohan Israel ke atas Palestin boleh menyokong idea tersebut. Kita secara tidak langsung telah membantu menguatkan ekonomi Israel.

Jika pun kita tidak seradikal untuk menghalau Starbucks keluar dari bumi Malaysia atau sekurang-kurangnya melancarkan kempen untuk memboikot barangan keluaran mereka/yang menyumbang kepada kekuatan mereka, janganlah sampai kita menambahkan kekuatan ekonomi mereka secara tidak langsung.

Sebagai alternatif, mengapa tidak dicadangkan kedai makan/kafe yang beroperasi dalam IPTA untuk meyediakan sendiri perkhidmatan wifi. Mereka hanya perlu mempunyai satu akaun internet dan membuat sambungan wireless sendiri.

Ini secara tidak langsung memberi idea kepada mereka untuk meningkatkan kualiti perniagaan dan juga memberi pendedahan tentang teknologi wireless, seperti kata pepatah "serampang dua mata".

Mungkin apa yang kita boleh pelajari disini ialah bagaimana mereka menguruskan perniagaan sehingga mampu membuka sekian banyak cawangan, dan juga menjadi pilihan orang ramai untuk minum sambil lepak menikmati perkhidmatan wireless percuma.

Saturday, June 07, 2008

Penstrukturan semula subsidi atau pelepasan tanggungjawab

Membebankan. Itu rumusan terbaik yang dapat dibuat terhadap keputusan pihak pemerintah yang menaikkan harga minyak berkuatkuasa tengah malam 5 Jun lalu.

Kenaikan tersebut yang dikenali sebagai "penstrukturan semula subsidi" tidak ubah seperti pelepasan tanggungjawab.

RM 625 untuk kereta bawah 2000 cc dan RM 150 untuk pengguna motosikal bawah 250 cc (rebet yang diberikan untuk tempoh setahun) tidak lebih daripada silap muta murahan yang kurang menjadi.

Dengan mengambil contoh kereta, rebet yang diperoleh sebulan ialah sekitar RM 52.08, yang mana jumlah sebanyak itu hampir pasti tidak mencukupi untuk pergi ke tempat kerja. Sedangkan bermula tengah malam 5 Jun pengguna perlu membayar sebanyak RM 2.70 untuk seliter petrol.

Rebet yang diberi sekadar penyedap halwa telinga atau tidak lebih sekadar gimik berbanding kenaikan yang dikenakan hampir 40 %.

Lagu lama yang sering dimainkan, iaitu minyak kita antara yang terendah dikalangan negara jiran diputarkan semula. Bagaimana pula kadar harga minyak kita dikalangan negara pengeluar minyak?

Dikalangan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia; kesemua mereka merupakan negara pengimport minyak. Secara logiknya memanglah minyak mereka lebih mahal berbanding kita.

Sekadar mengimbas kembali posting asal saya berkenaan harga minyak negara ketika blog ini mula-mula diwujudkan. Apa yang pasti kita sebagai negara pengeluar minyak tidak sepatutnya menaikkan harga minyak.

Kesimpulannya, saya mengutuk sekeras-kerasnya kenaikan harga minyak yang amat menbebankan ini dengan mencabar pihak pemerintah agar membentangkan belanjawan Petronas di Parlimen dengan segera. Tidak cukup sekadar memberitahu bahawa duit tersebut digunakan unutk pembangunan (alasan yang terlalu umum).