Saturday, April 26, 2008

Dadah haram disisi Islam; bagaimana dengan rasuah?

Pernahkah anda melihat papan tanda di atas yang berbunyi "Dadah haram disisi Islam"? Gambar tersebut diambil di salah satu masjid yang terdapat di kawasan Lembah Pantai. Apa kata anda, setuju atau tidak dengan kata-kata di atas?

Secara peribadi saya kurang bersetuju dengan kata-kata diatas. Ini adalah kerana dadah itu boleh diumpamakan seperti makan, yang mana kita hari-hari perlu makan untuk meneruskan hidup. Jika terlebih makan; badan boleh naik, dan tidak mustahil lama kelamaan penyakit boleh datang.

Dadah diperlukan untuk membuat ubat, yang mana boleh dikatakan setiap orang pernah memakannya (yang mana kandungan dadah dalam ubat tersebut adalah dalam kuantiti yang terkawal).

Tetapi bilamana kandungan yang diambil melebihi daripada dos yang dibenarkan, itu yang dikatakan penyalahgunaan dadah. Penyalahgunaan dadah yang sebenarnya musuh negara, tetapi bukan yang utama jika dibandingkan dengan rasuah bukan?

Mengapa rasuah?

Sebagai perbandingan mudah, untuk menangani masalah dadah, kita mempunyai AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan). Untuk rasuah pula bagaimana?

Jika dadah yang terdapat dalam ubat dibandingkan dengan rasuah yang kecil, apakah "rasuah minor" itu dibenarkan? Bukankah perbuatan merompak itu dimulakan dengan mencuri? Bukankah rasuah mampu meruntuhkan sesebuah tamadun bilamana segala habuan dunia (wang ringgit, wanita, pangkat dan lain-lain) menjadi pertukarannya?

Dengan itu, pengumuman oleh kerajaan untuk menjadiakan BPR (Badan Pencegah Rasuah) beroperasi seperti sebuah suruhanjaya menjelang akhir tahun amat dialu-alukan. Ini juga bermakna suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

Kita juga mengharapkan agar kerajaan mengisytiharkah rasuah sebagai musuh nombor satu negara sebagai menggambarkan akibat buruk yang bakal terjadi daripada gejala tersebut.

Tuesday, April 08, 2008

Keputusan PRU-12: Rakyat yang sepatutnya untung pada akhirnya

BN hilang majoriti 2/3 buat pertama kalinya. Lima negeri termasuk Kelantan jatuh ketangan Barisan Rakyat (PAS, PKR dan DAP). Ini tidak termasuk Wilayah Persekutuan yang mana 8 daripada 11 kerusi parlimennya dikuasai Barisan Rakyat, begitu juga dengan Sarawak yang hanya menjalankan pilihan raya peringkat parlimen.

Senario yang berlaku diatas sememangnya boleh dikatakan agak diluar jangkaan sebelum berlangsungnya hari pengundian.

Apa yang pasti gelaran “YB” yang menjadi rebutan kini mula memberikan perspektif yang baru dalam konteks politik Malaysia (yang rata-ratanya masih tebal dengan sikap perkauman).

BN yang mengalami tsunami politik semestinya akan berusaha untuk menawan kembali hati rakyat yang selama ini menyokong mereka. Begitu juga dengan BR (Barisan Rakyat) yang berjaya menawan 4 negeri baru dan mengekalkan pemerintahannya di Kelantan, turut berusaha untuk membuktikan yang mereka jauh lebih baik daripada BN.

Wakil-wakil rakyat yang mula dipilih kini benar-benar menjadi "wakil rakyat" dalam erti kata yang sebenar. Bila mana para pengundi kini mula memerhatikan apa yang wakil-wakil mereka lakukan, dan bersedia pula untuk menghukum mereka dan juga parti yang diwakili sekiranya gagal menjalankan tugas, para YB kini perlu memastikan amanah yang dipikul adalah dengan penuh tanggungkjawab demi kesejahtreaan rakyat.

Satu persoalan yang agak menarik untuk diketengahkan disini ialah apakah Malaysia kini sudah bersedia untuk diwakili hanya oleh dua parti seperti mana yang diamalkan di negara-negara maju?

Mungkin masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai persoalan diatas. Walaubagaimanapun, sekiranya cadangan di atas mampu memberi pulangan yang menguntungkan kepada rakyat, mengapa tidak bukan?

Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat bertugas kepada kerajaan yang baru dilantik (samada dari pihak BN mahupun BR), bersama wakil-wakil mereka. Berilah mereka peluang untuk melaksanakan amanah yang diberi.

Sekiranya kedua-dua mereka gagal, apakah para bloggers yang kini bernaung di bawah NAB (National Alliance of Bloggers) bersedia menawarkan diri? Apa kata anda?