Sunday, October 28, 2007

Wednesday, October 24, 2007

Tuesday, October 23, 2007

Monday, October 22, 2007

Himpunan rakyat 100 ribu, warna kuning jadi simbol protes Bersih

Oleh Harakah Daily

Gabungan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengenakan pakaian berwarna kuning sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemulihan sistem pilihan raya di negara ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat, Mohamed Sabu dalam sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut sebentar tadi.

"Warna tema kuning dipilih sebagai simbolik kepada protes yang disuarakan dan ia juga merupakan warna untuk kebebasan akhbar,"katanya. Ujarnya, pelancaran pemakaian warna kuning dari 1 hingga 10 November ini sebagai publisiti perhimpunan rakyat akan dibuat secara rasmi Bersih pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan selepas ini.

"Perhimpunan ini bukan berdasarkan kepada parti tetapi ia adalah perjuangan semua pihak," ujar Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.

Beliau mendakwa tindakan kerajaan mengadakan pilihan raya adalah secara 'snap election' hanyalah sia-sia setelah mereka gagal menyelesaikan banyak isu penyelewengan dan kelemahan mengurus tadbir negara.

"Kehadiran dijangka lebih ramai, kerana setakat ini Terengganu telah memberikan jawapan untuk menghantar 10,000 penyertaan," kata AJK PAS Pusat, Anuar Tahir.

Jelasnya, Bersih akan meminta kerjasama pihak polis, serta media arus perdana untuk mengadakan liputan perhimpunan tersebut, memandangkan permit telah dipohon.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Bersih juga sekali lagi mengumumkan bahawa perhimpunan yang rancang pada 10 November itu akan bermula pada jam 3 petang di Dataran Merdeka yang akan berarak menuju ke Istana Negara bagi upacara penyerahan memorandum menuntut pilihan raya bersih kepada Yang diPertuan Agong.

"Setakat ini hanya satu daripada empat tuntutan yang terkandung di dalam memorandum tersebut, telah diterima oleh kerajaan iaitu penggunaan dakwat kekal pada jari telunjuk," ujar Anuar. - mks.

(Dapatkan berita selanjutnya dalam Harakah cetak keluaran akan datang)

Sunday, October 21, 2007

Tempoh kempen: BERSIH gesa SPR contohi Australia

Oleh Faisal Mustaffa

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mencontohi badan yang sama di Australia dengan membenarkan kempen lebih lama dari kebiasaannya.

Malaysia dan Australia merupakan negara komanwel yang berkongsi warisan pentadbiran Inggeris (Westminster).

Ahad,lalu Perdana Menteri Australia, John Howard membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pengundian yang akan berlangsung pada 24 November ini.

Dalam erti kata lain, parti-parti politik yang bertanding di Australia mempunyai jangkamasa kempen yang panjang selama 42 hari dalam menyalurkan maklumat-maklumat kepada pengundi-pengundi mereka.

Undang-undang Australia menyatakan tempoh berkempen minima selama 35 hari atau lima minggu.

Seperti kebanyakan negara yang sudah lama mengamalkan sistem demokrasi, Australia membenarkan satu jangkamasa yang cukup bagi calon-calonnya untuk melibatkan diri dalam pilihanraya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSIH, dalam kes Malaysia di mana keadaan berlaku sebaliknya; terkebelakang. Dalam pilihanraya persekutuan pertama Malaya pada tahun 1955, tempoh pilihanraya ialah 42 hari.

BERSIH menyatakan bahawa pilihanraya sebelum ini dijalankan selama lima minggu atau lebih kurang 35 hari bagi tiga pilihanraya awal (1959, 1964, dan 1969) selepas kemerdekaan; dan dipanjangkan tempoh tersebut selama dua minggu pada pilihanraya 1974, 1978 dan 1982.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad jangkamasa kempen bagi empat pilihanraya berikutnya (1986, 1990, 1995, 1999), pilihanraya diadakan sama ada sembilan atau sepuluh hari sahaja. Pada pilihanraya 2004, negara ini memperkenalkan tempoh pilihanraya terpendek iaitu selama lapan hari sahaja.

Menurut BERSIH, baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Rashid Abdul Rahman ada memberi isyarat bahawa pada pilihanraya akan datang ini, kita mungkin mempunyai tempoh kempen yang lebih panjang sungguhpun "tidak melebihi dua minggu".

BERSIH mendesak supaya satu tempoh kempen pilihanraya yang adil selama 21 hari, separuh daripada apa yang pernah dijalankan pada 1955 bagi memberi laluan kepada para pengundi mengenali calon-calon mereka dan bahan-bahan kempen yang dibawa dalam kempen masing-masing.

Tempoh tersebut adalah penting terutama sekali bilamana media elektronik perdana hanya bersebelah pihak dalam liputan-liputan mereka.

Satu jangkamasa yang lebih panjang akan memberikan satu lapangan yang lebih adil dan memberi peluang kepada warganegara supaya mereka dapat meneliti calon-calon mereka dalam satu wadah yang lebih bermakna.

Thursday, October 18, 2007

Worldwide Press Freedom Index 2007

Lihat dan analisa sendiri. Apa yang ingin ditekankan disini ialah disebabkan kebebasan media oleh Presiden B J Habibie (ketika memerintah Indonesia dalam tempoh yang singkat), ekonomi republik tersebut telah mula menunjukkan perkembangan yang agak memberangsangkan kerana media mereka terbuka untuk membongkar kes-kes rasuah dan pecah amanah yang berlaku.

Pelabur asing telah mulai yakin untuk melabur disebabkan rasuah dan juga karenah birokrasi yang mula berkurangan. Alangkah baik sekiranya Malaysia turut mengamalkan kebebasan media dalam erti kata yang sebenar.

Klik untuk laporan asal.

Wednesday, October 17, 2007

Nahas feri: Siasat dan dakwa pegawai/mereka yang terlibat sebagai pengajaran kepada yang lain

Nahas feri yang berlaku pada 1 Syawal lalu mengundang lebih banyak persoalan berkenaan keberkesanan penguatkuasa menjalankan tugas mereka. Lebih pelik ialah bagaimana feri yang tidak mempunyai lesen dan permit untuk membawa penumpang boleh dibenarkan untuk beroperasi?

Apakah ada tangan-tangan ghaib yang membolehkan syarikat feri tersebut terus beroperasi tanpa sekatan? Sekiranya nahas tersebut tidak berlaku, apakah operasi feri akan terus berjalan seperti biasa?

Siasatan yang dilakukan hendaklah menyeluruh sehingga ke akar umbi bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab agar menjadi peringatan kepada yang lain. Janganlah hendaknya pihak-pihak yang berkenaan hanya kelihatan bersungguh apabila sesuatu tragedi telah menimpa, seperti mana saranan untuk memeriksa semua feri-feri sedia ada yang sepatutnya telah dilakukan secara berkala.

Bak kata pepatah,"kalau gigi yang sakit, takkan nak jumpa doktor mata".

Wednesday, October 10, 2007

Tuntut pilihan raya adil - Perhimpunan Rakyat 10 November ini di Dataran Merdeka

Oleh Harakah Daily

Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan menganjurkan satu perhimpunan raksasa yang dinamakan perhimpunan rakyat pada 10 November ini di Dataran Merdeka.

Dalam satu pengumuman yang dibuat pada sidang media hari ini, Bersih dijangka akanmengadakan perhimpunan tersebut bermula jam 3 petang.

"Perhimpunan tersebut seterusnya akan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tuntutan rakyat kepada Yang Di Pertuan Agong untuk menyuarakan hasrat rakyat untuk menjalani pilihan raya yang bersih dan adil seperti yang terkandung di dalam tuntutan Bersih sebelum ini," ujar wakil Jawatankuasa Bersih di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut tengahari tadi.

Menurut Jawatankuasa Bersih, Sivarasa Rasiah, ia juga sebagai satu ketetapan yang telah diambil oleh mereka yang menjangkakan bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan seawal November.

"Kami membuat telahan tersebut berdasarkan situasi Umno-BN yang kini berada keadaan terdesak, setelah melalui dua insiden yang menekan mereka iaitu peristiwa berdarah di Batu Buruk serta pendedahan video klip rasuah peguam dan hakim negara," jelasnya.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ujarnya mungkin akan membuat pengumuman tarikh PRU 12 lebih awal untuk mengeluarkan diri mereka daripada tekanan-tekanan tersebut sepertimana yang dibuat oleh PM sebelumnya pada PRU 1999.

"Ia adalah suatu jangkaan kritikal dibuat Bersih berbeza dengan beberapa tekaan yang dibuat oleh beberapa parti politik sebelum ini," ujar AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula,

Tindakan mengadakan perhimpunan tersebut adalah rentetan daripada resolusi Konvensyen Rakyat beberapa bulan yang lalu.

Koordinator Badan Penggerak Demokrasi Rakyat, Anuar Tahir berkata tarikh pilihan raya bukan suatu fokus yang utama bagi Bersih sebaliknya tuntutan reformasi rakyat terhadap perjalanan pilihan raya perlu terus dihidupkan.

"Kerana ia mungkin akan mengundang kecurangan dalam PRU 12 sebagaimana yang berlaku dalam PRU 2004 yang lalu," jelasnya.

Penganjur juga ujarnya sedang berusaha menyelesaikan urusan mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan tersebut, serta telah menggerakkan ahli-ahli parti atau pertubuhan yang bergabung dalam gabungan tersebut bagi menjayakannya.

"Kami juga telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan risiko yang bakal berlaku nanti," tambah Sivarasa.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Bersih turut memaklumkan bahawa mereka akan mnghantar surat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu tragedi berdarah di Batu Buruk pada 8 September lalu.

"Setelah mengadakan mesyuarat hari ini, kami membuat keputusan untuk menghantar surat kepada Suhakam mengenai permintaan kami agar diadakan satu siasatan menyeluruh terhadap tragedi tersebut memandangkan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam telah membawanya ke mesyuarat mereka semalam," ujarnya.

Bersih berharap akan mendapat keputusan yang positif daripada hasil mesyuarat tersebut, seterusnya membawa kepada tindakan bersepadu supaya perkara tersebut tidak akan berulang.

"Malangnya, media arus perdana sengaja memainkan taktik 'kewartawanan jahat' yang sentiasa diulang tayangan menyebabkan persepsi buruk rakyat kepada Bersih dan parti pembangkang," tambah Dr Dzulkefly.

Bersih menyatakan kekesalan dan menyelar tindakan parti pemerintah yang menggunakan media arus perdana sebagai jentera menyebarkan propaganda jahat serta kempen untuk merosakkan imej parti-parti pembangkang.