Monday, October 22, 2007

Himpunan rakyat 100 ribu, warna kuning jadi simbol protes Bersih

Oleh Harakah Daily

Gabungan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengenakan pakaian berwarna kuning sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemulihan sistem pilihan raya di negara ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat, Mohamed Sabu dalam sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut sebentar tadi.

"Warna tema kuning dipilih sebagai simbolik kepada protes yang disuarakan dan ia juga merupakan warna untuk kebebasan akhbar,"katanya. Ujarnya, pelancaran pemakaian warna kuning dari 1 hingga 10 November ini sebagai publisiti perhimpunan rakyat akan dibuat secara rasmi Bersih pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan selepas ini.

"Perhimpunan ini bukan berdasarkan kepada parti tetapi ia adalah perjuangan semua pihak," ujar Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.

Beliau mendakwa tindakan kerajaan mengadakan pilihan raya adalah secara 'snap election' hanyalah sia-sia setelah mereka gagal menyelesaikan banyak isu penyelewengan dan kelemahan mengurus tadbir negara.

"Kehadiran dijangka lebih ramai, kerana setakat ini Terengganu telah memberikan jawapan untuk menghantar 10,000 penyertaan," kata AJK PAS Pusat, Anuar Tahir.

Jelasnya, Bersih akan meminta kerjasama pihak polis, serta media arus perdana untuk mengadakan liputan perhimpunan tersebut, memandangkan permit telah dipohon.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Bersih juga sekali lagi mengumumkan bahawa perhimpunan yang rancang pada 10 November itu akan bermula pada jam 3 petang di Dataran Merdeka yang akan berarak menuju ke Istana Negara bagi upacara penyerahan memorandum menuntut pilihan raya bersih kepada Yang diPertuan Agong.

"Setakat ini hanya satu daripada empat tuntutan yang terkandung di dalam memorandum tersebut, telah diterima oleh kerajaan iaitu penggunaan dakwat kekal pada jari telunjuk," ujar Anuar. - mks.

(Dapatkan berita selanjutnya dalam Harakah cetak keluaran akan datang)

No comments: