Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mencontohi badan yang sama di Australia dengan membenarkan kempen lebih lama dari kebiasaannya.
Malaysia dan Australia merupakan negara komanwel yang berkongsi warisan pentadbiran Inggeris (Westminster).
Ahad,lalu Perdana Menteri Australia, John Howard membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pengundian yang akan berlangsung pada 24 November ini.
Dalam erti kata lain, parti-parti politik yang bertanding di Australia mempunyai jangkamasa kempen yang panjang selama 42 hari dalam menyalurkan maklumat-maklumat kepada pengundi-pengundi mereka.
Undang-undang Australia menyatakan tempoh berkempen minima selama 35 hari atau lima minggu.
Seperti kebanyakan negara yang sudah lama mengamalkan sistem demokrasi, Australia membenarkan satu jangkamasa yang cukup bagi calon-calonnya untuk melibatkan diri dalam pilihanraya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSIH, dalam kes Malaysia di mana keadaan berlaku sebaliknya; terkebelakang. Dalam pilihanraya persekutuan pertama Malaya pada tahun 1955, tempoh pilihanraya ialah 42 hari.
BERSIH menyatakan bahawa pilihanraya sebelum ini dijalankan selama lima minggu atau lebih kurang 35 hari bagi tiga pilihanraya awal (1959, 1964, dan 1969) selepas kemerdekaan; dan dipanjangkan tempoh tersebut selama dua minggu pada pilihanraya 1974, 1978 dan 1982.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad jangkamasa kempen bagi empat pilihanraya berikutnya (1986, 1990, 1995, 1999), pilihanraya diadakan sama ada sembilan atau sepuluh hari sahaja. Pada pilihanraya 2004, negara ini memperkenalkan tempoh pilihanraya terpendek iaitu selama lapan hari sahaja.
Menurut BERSIH, baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Rashid Abdul Rahman ada memberi isyarat bahawa pada pilihanraya akan datang ini, kita mungkin mempunyai tempoh kempen yang lebih panjang sungguhpun "tidak melebihi dua minggu".
BERSIH mendesak supaya satu tempoh kempen pilihanraya yang adil selama 21 hari, separuh daripada apa yang pernah dijalankan pada 1955 bagi memberi laluan kepada para pengundi mengenali calon-calon mereka dan bahan-bahan kempen yang dibawa dalam kempen masing-masing.
Tempoh tersebut adalah penting terutama sekali bilamana media elektronik perdana hanya bersebelah pihak dalam liputan-liputan mereka.
Satu jangkamasa yang lebih panjang akan memberikan satu lapangan yang lebih adil dan memberi peluang kepada warganegara supaya mereka dapat meneliti calon-calon mereka dalam satu wadah yang lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment