Wednesday, May 30, 2007

Kes Lina Joy: Umat Islam digesa solat hajat, doakan kemenangan Islam

Oleh Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Hrkh) – Semua umat Islam dalam dan luar negara diminta melakukan solat hajat pada malam ini untuk memohon doa kepada Allah SWT supaya memberi kemenangan kepada Islam berhubung kes Lina Joy yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini.

Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (Forkad), Ustaz Ridzuan Mohd Noor berkata, umat Islam juga diminta supaya datang beramai-ramai ke mahkamah berkenaan pagi esok untuk memberi sokongan kepada Islam.

“Kesan kes Lina Joy amat besar bahkan beliau didokong oleh empat belas peguam. Oleh itu kita minta umat Islam mendoakan kemenangan kepada Islam,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pada 30 Mei ini Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Lina Joy, atau nama asalnya Azlina Jalani, 42, seorang wanita Melayu yang mengaku murtad sejak 1998 untuk menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Sementara itu, Ustaz Ridzuan berkata, mereka berharap kes tersebut tidak memihak kepada kegiatan dan tindakan menentang Islam dan memudahkan murtad di negara ini.

“Sebab implikasi keputusan itu akan menyebabkan semakin ramai yang ghairah untuk murtad.

“Contohnya di Sabah dan Sarawak sekarang ini saya difahamkan ramai yang murtad, maknanya murtad menjadi satu fenomena di negara kita,” dakwanya.

Menurut beliau, Forkad berasa kecewa dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat bersifat apologetik dengan gerakan mempromosi murtad di negara ini.

Tambahan pula dakwanya, isu murtad di negara ini juga diketahui dunia.

“Kita harap sangat kerajaan menentang wabak murtad dan gerakan mempromosi murtad demi kesejahteraan umat dan agama Islam,” katanya lagi.

Wednesday, May 23, 2007

1 juta dapat manfaat, 24 juta hidup tertekan

Oleh Harakah Daily

KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) – Bagi lebih sejuta kakitangan awam tentunya gembira dengan kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan semalam. Namun, bagaimana pula 24 juta lagi penduduk yang bukan kakitangan kerajaan.

Lebih-lebih lagi mereka yang kais pagi makan pagi, hanya mengharap upah yang tidak seberapa. Hari bekerja dapat gaji, tidak bekerja tiada pendapatan.

Mereka merupakan golongan pertama menjadi mangsa kesan kenaikan gaji kakitangan awam. Ini kerana sudah menjadi lumrah dalam teori ekonomi, kenaikan pendapatan akan menyumbang peningkatan harga barangan.

Risiko ditanggung orang kampung bertambah kerana harga barangan keperluan harian meningkat, sedangkan jumlah pendapatan masih di tahap lama.

Jurucakap Persatuan Pekerja Islam Kelantan, Azhar Abdullah berkata, impak daripada kenaikan gaji kakitangan awam sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

"Ini kerana kenaikan itu seolah-olah memberi laluan kepada peningkatan harga barangan keperluan harian. Inilah situasi lama yang sering berulang.

"Jadi kenaikan gaji 35 peratus bagi kakitangan kumpulan sokongan dan 42 peratus anggota pasukan keselamatan sebenarnya tidak ke mana-mana kerana bebanan kenaikan harga barangan memberi kesan lebih ketara," katanya di sini.

Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus, manakala bantuan sara hidup dinaikkan 100 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini.

Azhar berkata, kesan kenaikan harga barangan tentunya akan meningkat kos sara hidup dan bagi bukan kakitangan awam kehidupan mereka lebih terdesak lagi.

Katanya, 24 juta lagi penduduk di negara ini yang tidak berkhidmat di sektor kerajaan tidak mempunyai tempat untuk bergantung dan terpaksa menerima kos kenaikan harga barangan keperluan.

"Golongan itu pastinya akan lebih merempat lagi kerana kos hidup semakin meningkat. Jadi apa sebenarnya kelebihan dengan kenaikan gaji dalam situasi sekarang," katanya.

Seorang peniaga dari Bukit Bunga, Jeli, Haji Suply Abdul Razak berkata, kenaikan gaji kakitangan awam sebenarnya merupakan berita buruk pula bagi penduduk kampung.

Ini kerana katanya, mereka terpaksa menanggung kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

"Sepatutnya kerajaan perlu menurunkan harga minyak sebelum mengumum menaikkan gaji kakitangan awam. Ini bagi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Beliau juga yakin mesej utama di sebalik pengumuman kenaikan gaji itu ada agenda politik yang lebih besar iaitu menarik sokongan kakitangan awam kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan BN amat berharap sokongan mereka bagi membalas kembali budi baik kerajaan sekarang.

"Manakala bagi penduduk kampung dan bukan kakitangan awam mereka lebih mudah dipergulakan dengan habuan kebendaan ketika musim pilihan raya," tambahnya.

Tuesday, May 15, 2007

Tragedi usul pecat Mufti berulang?

Oleh Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Sekali lagi kewibawaan para Mufti tercalar dan dipertikai apabila seorang senator meminta agar Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diberi lebih kuasa untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti negeri bagi mengelak kekeliruan dan percanggahan.

Lebih mengecewakan, salah satu punca percanggahan ini dikatakan berikutan kenyataan Mufti Perak bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh.

Sikap ini seolah-olah dilihat mengulangi ataupun seumpamanya rentetan kepada tindakan usul memecat Mufti Perak sebelum ini yang jelas merupakan tragedi dan peristiwa yang menyinggung Umat Islam dan Institusi Agama Negeri.

Atau paling tidak pun akan memberi ruang sekali lagi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengemukakan usul memecat mufti memandangkan pemimpin Islam sendiri sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan menghina tokoh-tokoh agama sendiri.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Idris Ahmad berkata usul memecat mufti oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini berlaku ekoran daripada tingkah laku dan sikap pemimpin Umno yang juga beragama Islam yang sering kali memperlekehkan dan tidak menghormati tokoh-tokoh agama sendiri dan tidak mustahil usul ini akan kedengaran lagi berikutan kenyataan senator ini.

"Mufti adalah seorang yang ada 'authority' dan lantikannya semestinya bersandarkan kepada pengetahuannya yang cukup mendalam terhadap agama Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Dan sudah pasti kenyataan, pendapat dan fatwa yang dikeluarkan berpandukan al-Quran dan Hadis yang tidak berlandaskan nafsu semata-mata tetapi demi kepentingan umat Islam dan agama di negara ini," katanya lagi.

Akhbar hari ini melaporkan Senator Dato' Syed Ali Alhabshee berkata, pemantauan dan tindakan oleh Jakim ini perlu kerana sejak kebelakangan ini banyak kenyataan dikeluarkan oleh mufti negeri mengenai hukum Islam sehingga menimbulkan kekeliruan serta perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Haram Karnival Jom Heboh

"Sebagai contoh, baru-baru ini Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh,"kata Syed Ali semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Kesebelas, pada persidangan Dewan Negara di sini.

Cadangan Syed Ali disokong Senator Mohd. Puad Zarkashi termasuk Senator Dato' Abdul Rashid Ngah yang menyatakan bahawa mufti tidak harus sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan mengenai hukum Islam tanpa merujuk kepada Jakim atau Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.

Kata Idris lagi, senator terbabit yang sebenarnya keliru dengan fatwa mufti tersebut malah dilihat sebagai tindak balas dan sikap sebenar semua pemimpin Umno selama ini terhadap tokoh-tokoh agama apatah lagi jika tidak selari dengan kehendak mereka walaupun termasuk perkara-perkara yang melampaui batas Islam.

"Kalau boleh mereka mahu mufti keluarkan fatwa ikut selera dan nafsu mereka," katanya.

"Sekiranya senator atau pemimpin Umno ada hujah bahawa Jom Heboh ini dibolehkan, ada pandangan ulama bersandarkan nas Al-quran dan Hadis, sila kemukakan supaya umat Islam tidak keliru seperti yang didakwa," katanya lagi.

Tidak dinafikan katanya bahawa mufti dan para ulama bukanlah maksum (tidak berdosa) namun bagi perkara yang sudah jelas tentang punca berlakunya unsur-unsur maksiat dan kerosakan akhlak akibat daripada konsert ini, selayaklah mufti memberi nasihat Qataie (Jelas, mutlak) yang tidak perlu dipertikai oleh sesiapa.

Bagi nasihat Zannie, iaitu pendapat yang samar, pandangan mufti itu boleh dibincangkan dan boleh berbeza pendapat antara satu dengan yang lain.

Kenapa Mufti pula hendak dipantau?

“Apa hak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana mufti yang mengeluarkan kenyataan yang benar dan tidak menyalahi syariat?”.

Demikian reaksi spontan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Nor Azli Musa, ketika diminta mengulas kenyataan Dato' Syed Ali itu.

“Saya tak nampak kenyataan mufti itu mengelirukan orang ramai, kenyataan mufti itu tidak pula melanggar syariat Islam, bagi kita kenyataan mufti itu tidak bercanggah dengan Islam, kenapa pula Jakim diminta memantau mufti yang `berani’ mengerluarkan kenyataan untuk menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke lembah kemaksiatan,” tegasnya.

Tugas mufti antara lainnya adalah penasihat kepada kerajaan, menegur mana-mana pihak termasuk kerajaan bila didapati tindakan mereka itu bercanggah dengan Islam, kerana itu bila mufti mengerluarkan kenyataan yang bersifat menegur, rakyat dan kerajaan kena akur, bukannya mufti pula dipantau dan diambil tindakan, katanya.

“Mufti dilantik oleh Sultan, bukannya Jakim, kenapa Jakim pula diminta `memantau’ mufti”, soalnya.
Sepatutnya semua pihak termasuk kerajaan merasa bangga kerana ada lagi mufti yang `berani bersuara’ untuk menegur kerajaan dan pihak-pihak tertentu, kerana itu pandangan mufti itu sepatutnya diterima pakai dan dihormati, tambahnya.

“Bila ada mufti yang berani mengeluarkan pandangannya bagi menyelamatkan umat Islam daripada kancah maksiat, kerajaan kena akur dan menghormati pandangan itu, jika kenyataan mufti itu disanggah, buat apa diwujudkan jawatan mufti,” ujar beliau.

Beliau menyifatkan kenyataan senator itu sebagai `penghinaan terhadap institusi mufti kerana mufti pula mahu `dipantau’ dan akan diambil tindakan.

“Saya ingat Senator dari Umno itu tidak begitu `senang’ dengan mufti-mufti yang ada kerana kenyataan mufti itu tidak selari dengan Umno,” ujar beliau.

“Dulu bila Kerajaan Kelantan hendak laksanakan hudud, Umno kata hudud PAS, sekarang ini mereka tak suka dengan mufti yang `berani, lebih baik Umno wujudkan jawatan Mufti Umno,” sindir beliau.

Sunday, May 06, 2007

Jangan jadikan wang hantaran sebagai beban

BESUT 5 Mei – Masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak menjadikan wang hantaran sebagai satu beban sehingga menimbulkan masalah kepada bakal pengantin.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, perkara tersebut sepatutnya difahami dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan timbul masalah seperti lambat berkahwin terutama di kalangan gadis.

Menurutnya, jika masalah itu dibiarkan berlarutan. mungkin ramai gadis akan menjadi anak dara tua, manakala masalah sosial lain seperti bersekedudukan, zina dan membujang di kalangan lelaki akan bercambah.

Menurutnya, dalam Islam, kesudian golongan wanita untuk diterima menjadi isteri merupakan satu penghargaan kerana ia merupakan satu kesanggupan untuk menjaga anak dan suami.

“Bagi lelaki pula, persetujuan wanita menjadi isteri mereka merupakan satu ganjaran yang tidak ternilai harganya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Cakna dan Mesra Rakyat di kediamannya di Kampung Baharu, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada tiga pelajar daerah itu yang mencipta nama setelah muncul sebagai pelajar terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Antaranya ialah Nadia Rohani Malek Panter Brick, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq yang memperolehi 14 A1 dan muncul pelajar terbaik Terengganu dalam peperiksaan tersebut.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian sebagai mengulas trend segelintir masyarakat Islam negara ini yang meletakkan hantaran perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Beliau berkata, jika wang hantaran tinggi menjadi amalan, tidak mustahil lelaki negara ini berkahwin dengan wanita negara lain atau pasangan bernikah di negara lain yang tidak memerlukan wang hantaran yang banyak.

“Jika ini berlaku, sudah pasti akan menimbulkan masalah dalam masyarakat kerana ramai gadis di negara ini akan menjadi anak dara tua,'' katanya.

Beliau juga menegurkan segelintir umat Islam yang mencari angka tertentu untuk menetapkan jumlah wang hantaran kononnya mempunyai tuah dan sebagainya.

“Jangan kita percaya angka-angka tertentu boleh mendatangkan tuah kerana tidak ada ketetapan itu dalam Islam, sebaliknya ambillah jalan yang tidak mendatangkan masalah kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Comment:-

Kita sepatutnya kembali kepada Islam. Tidak perlu terlalu mengikut adat. Tidak salah berbelanja untuk mengadakan majlis seperti kebiasaan jika berkemampuan. Tetapi, dalam keadaan sekarang (khusus untuk graduan) dimana taraf hidup meningkat, begitu juga pengangguran, kerja yang tidak tetap, kerjaya baru bermula, pinjaman belum berbayar; agak sukar untuk mereka mengumpul belanja kahwin untuk mengadakan majlis seperti kebiasaan dalam masa terdekat. Benda yang baik seeloknya dipermudahkan. Mengapa benda-benda yang haram/maksiat lebih mudah diperolehi? Seperti kata MB Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo, "hari-hari mendatang selepas berkahwin lebih penting daripada satu hari kita menjadi raja sehari". Nabi juga pernah bersabda, "berkendurilah kamu walaupun dengan hanya menyebelih seekor kambing". Sama-sama kita fikirkan.

Thursday, May 03, 2007

Selamat Hari Kebebasan Ahkbar Sedunia


"Towards a new way of information delivery and media free"

- in conjunction with World Press Freedom Day 3rd May 2007 -

Pendedahan penyelewengan PRK DUN Ijok

Pimpinan KeADILan akan mendedahkan penyelewengan kerajaan & SPR dalam PRK DUN Ijok kepada umum. Butiran lanjut adalah seperti berikut :-


Tarikh: 4 Mei 2007

Masa: 9 malam

Tempat: Markas Tarbiyyah PAS Tmn Melewar,Gombak

Penceramah: Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sdr Azmin Ali, Ustaz Nasharudin Mat Isa

Tuesday, May 01, 2007

Anwar Gesa Satu Piagam Baru Untuk Buruh

Oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya ditubuhkan satu ‘piagam baru untuk buruh’ yang mengambil kira kesan globalisasi dan pertambahan perdagangan dunia tetapi pada masa yang sama, melindungi hak para pekerja untuk bebas berpersatuan dan mendapatkan gaji yang berpatutan.

Dalam satu perutusan sempena Hari Pekerja, Anwar berkata walaupun beliau mengakui bahawa globalisasi dan perubahan dalam perdagangan dunia telah menghakis kuasa kesatuan-kesatuan sekerja, namun ‘hak-hak tertentu pekerja tidak boleh dinafikan dan masih tetap utuh.’

‘Hak para pekerja untuk bebas membentuk kesatuan tidak boleh dicabuli sementara hak untuk mendapatkan upah yang berpatutan untuk sesuatu kerja yang dilakukan juga mesti diakui,’ kata bekas menteri kewangan itu yang kini menjadi pemimpin tidak rasmi pembangkang Malaysia.

Anwar berkata dalam beberapa sektor penting ekonomi di Malaysia, kedua-dua hak untuk membentuk persatuan dan menerima gaji yang berpatutan bukan merupakan sebahagian dari isu hubungan majikan-pekerja.

“Ini merupakan bintik hitam buat negara – iaitu setelah lima puluh tahun Merdeka, masih ada pekerja-pekerja yang dihalang daripada menyertai sesebuah persatuan dan bergelut untuk mendapatkan gaji untuk menyara hidup,” kata beliau dengan nada kesal.

Beliau berkata Keadilan komited terhadap penggubalan undang-undang gaji minimum dan partinya akan ‘menggunakan setiap saluran moral’ bagi memujuk majikan dan pengurusan supaya tidak membubarkan kesatuan selain membayar gaji yang setanding dengan keperluan hidup.

‘Kuasa kerajaan untuk menggunakan pengaruhnya tanpa melalui saluran perundangan adalah sangat besar dan PKR akan menggunakan asas moral ini bagi menyokong hak pekerja untuk bebas berpersatuan dan menerima gaji yang berpatutan.’

Beliau berkata hak lain yang seumpamanya adalah perumahan yang memuaskan yang mampu dimiliki, di mana beliau menegaskan, tanggungjawab menyediakannya terletak di bahu kerajaan.

Peruntukan perumahan yang mencukupi mestilah menjadi satu keutamaan bagi sesebuah kerajaan yang peka kepada keperluan rakyatnya,” tegas beliau.

’Sektor perumahan tidak sepatutnya dianggap hanya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Mestilah ada tanggungjawab sosial dalam peruntukan perumahan di samping kerajaan dan sektor swasta juga mesti mengiktirafnya.”

Anwar berkata sebagai sebahagian dari piagam baru Keadilan untuk buruh, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja mesti membayar pencarum-pencarum dividen tahunan yang tidak kurang daripada 8 peratus. Dia juga berkata bahawa piagam baru itu turut akan memberi mandat untuk membayar elaun sara hidup buat pekerja-pekerja sektor swasta jika COLA dibayar kepada pekerja sektor awam.

“Kesetaraan adalah perlu apabila terdapat keperluan yang mendesak seperti harga minyak dan tol yang meningkat yang membebankan orang ramai.”