Oleh Harakah Daily
KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) – Bagi lebih sejuta kakitangan awam tentunya gembira dengan kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan semalam. Namun, bagaimana pula 24 juta lagi penduduk yang bukan kakitangan kerajaan.
Lebih-lebih lagi mereka yang kais pagi makan pagi, hanya mengharap upah yang tidak seberapa. Hari bekerja dapat gaji, tidak bekerja tiada pendapatan.
Mereka merupakan golongan pertama menjadi mangsa kesan kenaikan gaji kakitangan awam. Ini kerana sudah menjadi lumrah dalam teori ekonomi, kenaikan pendapatan akan menyumbang peningkatan harga barangan.
Risiko ditanggung orang kampung bertambah kerana harga barangan keperluan harian meningkat, sedangkan jumlah pendapatan masih di tahap lama.
Jurucakap Persatuan Pekerja Islam Kelantan, Azhar Abdullah berkata, impak daripada kenaikan gaji kakitangan awam sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
"Ini kerana kenaikan itu seolah-olah memberi laluan kepada peningkatan harga barangan keperluan harian. Inilah situasi lama yang sering berulang.
"Jadi kenaikan gaji 35 peratus bagi kakitangan kumpulan sokongan dan 42 peratus anggota pasukan keselamatan sebenarnya tidak ke mana-mana kerana bebanan kenaikan harga barangan memberi kesan lebih ketara," katanya di sini.
Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus, manakala bantuan sara hidup dinaikkan 100 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini.
Azhar berkata, kesan kenaikan harga barangan tentunya akan meningkat kos sara hidup dan bagi bukan kakitangan awam kehidupan mereka lebih terdesak lagi.
Katanya, 24 juta lagi penduduk di negara ini yang tidak berkhidmat di sektor kerajaan tidak mempunyai tempat untuk bergantung dan terpaksa menerima kos kenaikan harga barangan keperluan.
"Golongan itu pastinya akan lebih merempat lagi kerana kos hidup semakin meningkat. Jadi apa sebenarnya kelebihan dengan kenaikan gaji dalam situasi sekarang," katanya.
Seorang peniaga dari Bukit Bunga, Jeli, Haji Suply Abdul Razak berkata, kenaikan gaji kakitangan awam sebenarnya merupakan berita buruk pula bagi penduduk kampung.
Ini kerana katanya, mereka terpaksa menanggung kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.
"Sepatutnya kerajaan perlu menurunkan harga minyak sebelum mengumum menaikkan gaji kakitangan awam. Ini bagi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa," katanya.
Beliau juga yakin mesej utama di sebalik pengumuman kenaikan gaji itu ada agenda politik yang lebih besar iaitu menarik sokongan kakitangan awam kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
Katanya, kerajaan BN amat berharap sokongan mereka bagi membalas kembali budi baik kerajaan sekarang.
"Manakala bagi penduduk kampung dan bukan kakitangan awam mereka lebih mudah dipergulakan dengan habuan kebendaan ketika musim pilihan raya," tambahnya.
No comments:
Post a Comment