Oleh Harakah Daily
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Sekali lagi kewibawaan para Mufti tercalar dan dipertikai apabila seorang senator meminta agar Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diberi lebih kuasa untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti negeri bagi mengelak kekeliruan dan percanggahan.
Lebih mengecewakan, salah satu punca percanggahan ini dikatakan berikutan kenyataan Mufti Perak bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh.
Sikap ini seolah-olah dilihat mengulangi ataupun seumpamanya rentetan kepada tindakan usul memecat Mufti Perak sebelum ini yang jelas merupakan tragedi dan peristiwa yang menyinggung Umat Islam dan Institusi Agama Negeri.
Atau paling tidak pun akan memberi ruang sekali lagi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengemukakan usul memecat mufti memandangkan pemimpin Islam sendiri sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan menghina tokoh-tokoh agama sendiri.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Idris Ahmad berkata usul memecat mufti oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini berlaku ekoran daripada tingkah laku dan sikap pemimpin Umno yang juga beragama Islam yang sering kali memperlekehkan dan tidak menghormati tokoh-tokoh agama sendiri dan tidak mustahil usul ini akan kedengaran lagi berikutan kenyataan senator ini.
"Mufti adalah seorang yang ada 'authority' dan lantikannya semestinya bersandarkan kepada pengetahuannya yang cukup mendalam terhadap agama Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Dan sudah pasti kenyataan, pendapat dan fatwa yang dikeluarkan berpandukan al-Quran dan Hadis yang tidak berlandaskan nafsu semata-mata tetapi demi kepentingan umat Islam dan agama di negara ini," katanya lagi.
Akhbar hari ini melaporkan Senator Dato' Syed Ali Alhabshee berkata, pemantauan dan tindakan oleh Jakim ini perlu kerana sejak kebelakangan ini banyak kenyataan dikeluarkan oleh mufti negeri mengenai hukum Islam sehingga menimbulkan kekeliruan serta perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Haram Karnival Jom Heboh
"Sebagai contoh, baru-baru ini Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh,"kata Syed Ali semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Kesebelas, pada persidangan Dewan Negara di sini.
Cadangan Syed Ali disokong Senator Mohd. Puad Zarkashi termasuk Senator Dato' Abdul Rashid Ngah yang menyatakan bahawa mufti tidak harus sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan mengenai hukum Islam tanpa merujuk kepada Jakim atau Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.
Kata Idris lagi, senator terbabit yang sebenarnya keliru dengan fatwa mufti tersebut malah dilihat sebagai tindak balas dan sikap sebenar semua pemimpin Umno selama ini terhadap tokoh-tokoh agama apatah lagi jika tidak selari dengan kehendak mereka walaupun termasuk perkara-perkara yang melampaui batas Islam.
"Kalau boleh mereka mahu mufti keluarkan fatwa ikut selera dan nafsu mereka," katanya.
"Sekiranya senator atau pemimpin Umno ada hujah bahawa Jom Heboh ini dibolehkan, ada pandangan ulama bersandarkan nas Al-quran dan Hadis, sila kemukakan supaya umat Islam tidak keliru seperti yang didakwa," katanya lagi.
Tidak dinafikan katanya bahawa mufti dan para ulama bukanlah maksum (tidak berdosa) namun bagi perkara yang sudah jelas tentang punca berlakunya unsur-unsur maksiat dan kerosakan akhlak akibat daripada konsert ini, selayaklah mufti memberi nasihat Qataie (Jelas, mutlak) yang tidak perlu dipertikai oleh sesiapa.
Bagi nasihat Zannie, iaitu pendapat yang samar, pandangan mufti itu boleh dibincangkan dan boleh berbeza pendapat antara satu dengan yang lain.
Kenapa Mufti pula hendak dipantau?
“Apa hak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana mufti yang mengeluarkan kenyataan yang benar dan tidak menyalahi syariat?”.
Demikian reaksi spontan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Nor Azli Musa, ketika diminta mengulas kenyataan Dato' Syed Ali itu.
“Saya tak nampak kenyataan mufti itu mengelirukan orang ramai, kenyataan mufti itu tidak pula melanggar syariat Islam, bagi kita kenyataan mufti itu tidak bercanggah dengan Islam, kenapa pula Jakim diminta memantau mufti yang `berani’ mengerluarkan kenyataan untuk menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke lembah kemaksiatan,” tegasnya.
Tugas mufti antara lainnya adalah penasihat kepada kerajaan, menegur mana-mana pihak termasuk kerajaan bila didapati tindakan mereka itu bercanggah dengan Islam, kerana itu bila mufti mengerluarkan kenyataan yang bersifat menegur, rakyat dan kerajaan kena akur, bukannya mufti pula dipantau dan diambil tindakan, katanya.
“Mufti dilantik oleh Sultan, bukannya Jakim, kenapa Jakim pula diminta `memantau’ mufti”, soalnya.
Sepatutnya semua pihak termasuk kerajaan merasa bangga kerana ada lagi mufti yang `berani bersuara’ untuk menegur kerajaan dan pihak-pihak tertentu, kerana itu pandangan mufti itu sepatutnya diterima pakai dan dihormati, tambahnya.
“Bila ada mufti yang berani mengeluarkan pandangannya bagi menyelamatkan umat Islam daripada kancah maksiat, kerajaan kena akur dan menghormati pandangan itu, jika kenyataan mufti itu disanggah, buat apa diwujudkan jawatan mufti,” ujar beliau.
Beliau menyifatkan kenyataan senator itu sebagai `penghinaan terhadap institusi mufti kerana mufti pula mahu `dipantau’ dan akan diambil tindakan.
“Saya ingat Senator dari Umno itu tidak begitu `senang’ dengan mufti-mufti yang ada kerana kenyataan mufti itu tidak selari dengan Umno,” ujar beliau.
“Dulu bila Kerajaan Kelantan hendak laksanakan hudud, Umno kata hudud PAS, sekarang ini mereka tak suka dengan mufti yang `berani, lebih baik Umno wujudkan jawatan Mufti Umno,” sindir beliau.
No comments:
Post a Comment