Friday, June 01, 2007

Pulih kontrak sosial dan hormati bukan Islam - Ketua Pemuda PAS

Oleh Harakah Daily

Pemuda PAS mahu kontrak sosial dalam negara dipulihkan semula dengan setiap pihak menghormati hak antara satu sama lain dan tidak membangkitkan ‘fitnah yang sedang tidur’ seperti yang berlaku mutakhir ini.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata isu-isu yang bersifat perkauman, sentimen agama dan unsur-unsur primodial yang lain supaya tidak diungkit-ungkitkan lagi di masa akan datang sambil memberi contoh dan menyatakan kekesalan terhadap isu-isu seperti kewujudan badan haram seperti Inter Faith Commission (IFC) ditubuhkan dengan sokongan beberapa menteri membuat tuntutan berbau perkauman kepada kerajaan, pencemaran bunyi azan, pengiktirafan terhadap si mati yang baru memeluk Islam, masalah penolakan ‘moral policing’ yang berteraskan akhlak Islam dan cabaran terhadap peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tentang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

"Kita sangat kesal dengan sikap kumpulan-kumpulan yang sengaja menimbulkan provokasi terhadap umat Islam dengan mencabar kuasa perundangan Syariah terhadap orang-orang Islam dalam kes murtad," katanya sewaktu menyampaikan ucapan dasar Pemuda PAS sebentar tadi.

"Amat aneh sekali apabila Umno yang berjaya memerintah pula yang bersikap bagai gunting dalam lipatan. Mereka sendiri merungkaikan satu demi satu kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputra walaupun ia sudah termaktub dalam undang-undang negara," katanya lagi.

Dewan Pemuda PAS mengutuk kebaculan Umno sebagai pemerintah mempertahankan akidah dan syiar Islam dan gagal menangani perkara ini secara bijaksana sehingga mencetuskan bibit-bibit yang tidak sihat dalam masyarakat majmuk di negara kita.

"Pemuda PAS memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja mencabar kesucian dan kedaulatan Islam bahawa kami sanggup mengorbankan apa sahaja demi mempertahankan Islam.

"Daripada hidup bercerminkan bangkai, biar mati bergalang tanah," ucapnya sambil disambut sorakan dan laungan takbir yang penuh semangat daripada perwakilan Pemuda.

Namun dalam pada itu, PAS kata Salahudin PAS sebagai parti Islam sejak dahulu lagi menghormati kedudukan orang bukan Islam sebagai warganegara Malaysia dan tidak pernah meminggirkan hak-hak mereka, bahkan PAS menyokong jika orang- orang Cina dan India mahu bahasa ibunda dan budaya mereka diperkasakan manakala PAS turut mendesak supaya orang-orang India yang miskin di estet-estet dibela.

Dalam masa yang sama PAS mengutuk pengagihan kemakmuran negara dibuat mengikut pertimbangan politik puak, tetapi ia seharusnya mengikut keperluan sebenar rakyat. PAS menyokong jika biasiswa diberikan kepada orang-orang miskin yang bukan Melayu dan PAS menolak jika hak istimewa Bumiputera dimonopoli oleh orang-orang Umno sahaja. Bahkan PAS menyokong Kongres Kepentingan Bangsa dan Dong Jiao Zhong dalam mempertahankan kepentingan bahasa ibunda, katanya lagi.

"PAS tidak berjuang atas kepentingan rasis atau perkauman, tetapi kita mahu hak-hak dan kepentingan orang Melayu/Islam yang telah dipersetujui bersama tidak dicabuli,"tegasnya.

Ucapnya lagi bahawa PAS mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan Bumiputra bukan atas dasar perkauman, tetapi kerana tidak mahu tragedi yang pernah menghitami sejarah negara pada 1969 berulang malah memberi amaran kepada Umno tidak sewenang-wenang mengulangi provokasi perkauman seperti yang berlaku pada 1987 yang akhirnya dibebankan kepada pembangkang.

No comments: