Wednesday, June 06, 2007

Tahniah pengantin baru, tapi jangan lupa isu negara, nasib rakyat - Mahfuz

Oleh Harakah Daily

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan melangsungkan perkahwinan Sabtu, 9 Jun ini, diharapkan tidak melupakan segala persoalan dan isu yang berbangkit yang perlu diutamakan demi kesejahteraan dan keadilan dalam negara

Aktivis politik, Haji Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada bakal pengantin baru dan berharap, dengan adanya pasangan tercinta dan isteri tersayang, dapatlah beliau memberi tumpuan yang serius terhadap masalah dan isu negara yang semakin runcing.

"Dulu mungkin fikiran beliau kusut sebab tiada teman berbincang bersama tetapi selepas ini kita harap menjadi semangat dan inspirasi kepada beliau," katanya yang dihubungi Harakahdaily.net sebentar tadi.

"Dan seterusnya memberi kekuatan dan keberanian untuk Pak Lah untuk bangkit menjawab persoalan-persoalan khususnya yang dibangkitkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir," kata bekas calon Naib Presiden PAS itu.

Ini termasuklah persoalan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) katanya yang ditangani secara lemah oleh Abdullah dilihat banyak pihak sebagai tindakan kerajaan mengadaikan kawasan tersebut kepada pihak luar dan menjual kedaulatan negara.

Selain itu, kesempitan hidup rakyat akibat kos bebanan yang tinggi perlu diambil kira sungguhpun kerajaan telah mengumukan kenaikan gaji bagi kakitangan kerajaan sebanyak 35 peratus namun seiring kenaikan itu, harga barang-barang keperluan juga turut naik yang akhirnya bukan sahaja membebankan kakitangan kerajaan tetapi menekan hidup pekerja swasta, kilang, petani, pekebun dan rakyat marhaen.

Dengan perkahwinan yang dialu-alukan oleh semua rakyat jelata katanya, beliau berharap selepas bulan madu nanti, Abdullah lebih fokus dan dapat melahirkan idea-idea yang lebih bernas yang dilihat 'beku' sebelum ini seterusnya agresif dalam tindakan seiring slogannya.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne Abdullah, 53 berasal dari di Kuala Lumpur.

Jeanne yang mempunyai dua orang anak Nadiah dan Nadene pernah bertugas sebagai Pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Pengurus Kompleks Seri Perdana.

Majlis Perkahwinan Perdana Menteri itu akan diadakan di Seri Perdana dan akan dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.

No comments: