Pernahkah anda melihat papan tanda di atas yang berbunyi "Dadah haram disisi Islam"? Gambar tersebut diambil di salah satu masjid yang terdapat di kawasan Lembah Pantai. Apa kata anda, setuju atau tidak dengan kata-kata di atas?
Secara peribadi saya kurang bersetuju dengan kata-kata diatas. Ini adalah kerana dadah itu boleh diumpamakan seperti makan, yang mana kita hari-hari perlu makan untuk meneruskan hidup. Jika terlebih makan; badan boleh naik, dan tidak mustahil lama kelamaan penyakit boleh datang.
Dadah diperlukan untuk membuat ubat, yang mana boleh dikatakan setiap orang pernah memakannya (yang mana kandungan dadah dalam ubat tersebut adalah dalam kuantiti yang terkawal).
Tetapi bilamana kandungan yang diambil melebihi daripada dos yang dibenarkan, itu yang dikatakan penyalahgunaan dadah. Penyalahgunaan dadah yang sebenarnya musuh negara, tetapi bukan yang utama jika dibandingkan dengan rasuah bukan?
Mengapa rasuah?
Sebagai perbandingan mudah, untuk menangani masalah dadah, kita mempunyai AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan). Untuk rasuah pula bagaimana?
Jika dadah yang terdapat dalam ubat dibandingkan dengan rasuah yang kecil, apakah "rasuah minor" itu dibenarkan? Bukankah perbuatan merompak itu dimulakan dengan mencuri? Bukankah rasuah mampu meruntuhkan sesebuah tamadun bilamana segala habuan dunia (wang ringgit, wanita, pangkat dan lain-lain) menjadi pertukarannya?
Dengan itu, pengumuman oleh kerajaan untuk menjadiakan BPR (Badan Pencegah Rasuah) beroperasi seperti sebuah suruhanjaya menjelang akhir tahun amat dialu-alukan. Ini juga bermakna suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen.
Kita juga mengharapkan agar kerajaan mengisytiharkah rasuah sebagai musuh nombor satu negara sebagai menggambarkan akibat buruk yang bakal terjadi daripada gejala tersebut.