PROTES KENAIKAN TOL – gabungan parti pembangkang, kesatuan pekerja dan NGO, akan menganjurkan perhimpunan bantah kenaikan kadar tol keempat pada Ahad ini (4 Februari), jam 4 petang, di depan Kompleks Membeli-belah IOI Mall, Puchong. Gabungan PROTES tetap membantah keputusan kerajaan menaikkan kadar tol di lima perhentian tol di sekitar Lembah Klang dan keenganan kerajaan untuk mendedahkan semua perjanjian konsesi lebuhraya.
Orang ramai diseru hadir ke perhimpunan ini untuk membantah keputusan kerajaan yang bersifat 'anti-rakyat' dan menggesa agar kerajaan membatalkan kenaikan kadar tol serta mendedahkan semua perjanjian konsesi lebuhraya. Gabungan berpendirian bahawa kerajaan tidak seharusnya menganggap perjanjian konsesi lebuhraya sebagai rahsia rasmi kerana ia tidak melibatkan sebarang urusan jualbeli senjata api atau keselamatan negara, tetapi ia adalah dokumen pembinaan infrastruktur yang biasa. Oleh sebab perjanjian tersebut ditandatangani di antara pihak kerajaan dan syarikat lebuhraya, maka rakyat berhak untuk mengetahui perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian.
Kenyataan Menteri Kerjaraya Samy Vellu bahawa akan menangkap mereka yang 'mencuri' perjanjian tersebut menunjukkan bahawa kandungan perjanjian konsesi lebuhraya adalah kebenaran yang paling kerajaan takuti diketahui rakyat. Sebelum ini, Gabungan PROTES telahpun menyerah memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, menganjurkan ceramah umum "Bantah Kenaikan Tol" dan mendedahkan perjanjian konsesi lebuhraya yang ditandatangani kerajaan dan syarikat lebuhraya.
Gabungan PROTES juga telah mengadakan tiga perhimpunan bantah kenaikan tol di tempat-tempat yang berlainan dan dihadiri oleh pimpinan parti pembangkang, kesatuan pekerja, pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis mahasiswa.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi DR HATTA RAMLI, Setiausaha Protes Kenaikan Tol pada talian 019-3398659.
No comments:
Post a Comment