Friday, September 28, 2007

Peguam mula protes, rakyat bila lagi?

Perarakan oleh majlis peguam pada Rabu (26/9/07) lepas bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi mendesak penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video V K Lingam merupakan yang ketiga dalam masa 30 tahun. Perarakan pertama pada tahun 1978, iaitu berhubung Akta Pertubuhan dan yang kedua pada tahun 1998, berhubung kes penghinaan Mahkamah oleh Zainur Zakaria.

Seperti kata Presiden Majlis Peguam (Ambiga Sreenevasan ),"apabila peguam mula berarak bermakna ada sesuatu yang tidak kena". Peguam yang tergolong dalam kalangan profesional merupakan kumpulan yang arif tentang undang-undang. Semestinya protes yang dibuat oleh kumpulan tersebut mempunyai impak yang besar terhadap perjalanan badan kehakiman.

Bagaimana pula respon daripada orang ramai? Logiknya mereka turut berkehendakkan sebuah sistem kehakiman yang bebas, atau dengan kata lain terlaksananya separation of powers diantara badan kehakiman, eksekutif dan legislatif. Tetapi cukupkah sekadar melihat sahaja perkembangan yang berlaku? Apa sumbangan/usaha yang patut dilakukan? Tidakkah ini merupakan isu yang paling besar yang sepatutnya diberi liputan meluas oleh semua media?

Bukankah mahkamah merupakan tempat untuk kita mengadu dan mendapat keadilan, jika betul dakwaan yang dibuat, kemana kita hendak mengadu terutamanya rakyat? Apakah akan terjadi seperti mana dalam drama tamil/hindustan, bila mana munculnya Inspektor Shahab bagi menyelamatkan keadaan. Mungkin sudah terlambat.

Kita perlu bersama-sama mengambil peduli akan isu ini. Gunakanlah peluang cuti perayaan yang bakal menjelma bagi memberi penjelasan kepada saudara-mara, rakan lama, orang kampung akan isu-isu yang melanda negara mutakhir ini.

Pastikan maklumat-maklumat ini sampai kepada mereka dan diterjemahkan dalam bentuk kertas undi menjelang pilihanraya umum yang ke 12 nanti. Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil.

No comments: