(Pusat Penyelidikan PAS)
Menyedari segala kepincangan pemerintahan yang ada kini, khususnya amalan rasuah yang semakin parah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi-institusi penting dalam kerajaan, maka PAS bakal menawarkan sebuah Kerajaan Bersih dan Berkebajikan serta Pemimpin Beramanah, yang antara lainnya akan:
Menginstitusikan dan memperkasakan amalan pemisahan kuasa Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif, supaya amalan demokrasi berfungsi dan berkesan serta tidak dicerobohi dan dipintas oleh pihak Eksekutif. Ini dapat disaksikan secara jelas dalam amalan pemerintahan yang ada apabila institusi seperti kehakiman dan badan-badan yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen untuk menjalankan tugas-tugas penting dalam amalan demokrasi seperti SPR, Suhakam, Badan Pencegah Rasuah, kerap dihalang daripada menjalankan tugasan mereka.
Menegaskan penghayatan Islam sebagai ad-Deen bagi umat Islam di negara ini. Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
Memperkasa dan memperkukuh agensi-agensi 'watchdog' atau 'pemantau' seperti BPR, Ketua Audit Negara, Suhakam, SPR dan lain-lain, dengan sumber dan mandat supaya tidak terbelenggu kepada mana-mana pihak dan terus bertanggungjawab kepada Parlimen.
Melindungi kedudukan pelapor atau 'whistleblowers' dengan jaminan kerahsiaan demi mempertahankan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Meminda dan/atau menghapuskan akta-akta zalim yang menyekat hak dan kebebasan rakyat seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Menjamin sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih dengan reformasi sistem pilihan raya secara menyeluruh seperti yang dituntut BERSIH.
Meningkatkan amalan dan urus tadbir kerajaan dengan berpandukan amalan terbaik (best practice) dalam jabatan awam, agensi serta syarikat yang berkaitan kerajaan supaya menjauhi rasuah dan ketirisan dalam sistem penghantaran awam khususnya dalam pembekalan awam (public procurement) projek mega-mewah melalui tender terbuka dengan penubuhan Badan Tender Bebas di bawah kuasa Parlimen.
Menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman di bawah Parlimen yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim berdasarkan merit dan integriti serta menambah baik pengurusan bagi meningkatkan kewibawaan Institusi Kehakiman dengan menguatkuasakan etika kehakiman yang saksama.
No comments:
Post a Comment