Kritikan keras mantan PM, Tun Dr Mahathir akhir-akhir ini sememangnya diakui memberi kelebihan kepada pembangkang. Kritikan yang dilemparkan sudah sampai kepada peringkat ahli-ahli UMNO dilarang untuk menghadiri sebarang program yang mempunyai kaitan dengan bekas Presiden UMNO itu. Perkembangan semasa ini dilihat seakan-akan sumpahan setiap 10 tahun sekali, yang mana mengulangi peristiwa yang berlaku pada 1987/88 dan 1998.
Walaubagaimanapun, menurut penganalisis politik, keadaan yang melanda sekarang dijangka lebih hebat berbanding 2 peristiwa terdahulu. Ini disebabkan terdapatnya kesinambungan antara hujah yang dikemukan oleh Tun Dr M dengan ketidakpuasan hati rakyat kebanyakan, terhadap perkembangan mutakhir yang berlaku. Melihat kepada sejarah politik Tun, sememangnya dia tidak pernah kalah. Namun demikian, situasi agak berbeza kali ini, yang mana Tun bukan lagi penyandang jawatan.
Sejarah juga membuktikan bahawa penyandang jawatan biasanya memenangi pertarungan ini. 3M (money, media and machinery) yang dimiliki oleh pemerintah kini, pasti di utilisekan sepenuhnya untuk berhadapan dengan hujah Tun. Diakui Tun bukanlah jaguh pidato seperti bekas timbalannya, Anwar Ibrahim. Namun demikian, dengan menggunakan logik akal, ramai yang terpesona dan percaya dengan Tun ditambah dengan kredibilitinya sebagai PM selama 22 tahun (Perdana Menteri yang pasti; bukan pesuruh menantu)
Memang benar kebanyakan isu yang Tun kemukakan tidak difahami oleh rakyat marhaen, tetapi apabila orang yang menyuarakan isu tersebut adalah Tun, ramai yang membuka mata dan telinga (termasuk oleh UMNO totok). Ini perkembangan yang menarik disebalik pelbagai akta yang mencengkam kebebasan bersuara yang diwarisi dari zaman Tun (OSA, akta media cetak dan penerbitan, ISA dan lain-lain). Tun sememangnya sedar penangan OSA yang mana ketua AMK, Saudara Ezam Mohd Noor dikenakan hukuman penjara 2 tahun apabila beliau mendedahkan dokumen pendakwaan rasmi terhadap Rafidah Aziz yang telah ditandatangani oleh Timbalan Pendakwaraya, Gani Patail pada tahun 1995.
Sesetengah isu yang dikemukan oleh Tun pernah disuarakan pembangkang (pemilikan kepentingan asing dalam saham milik GLC sebagai contoh). Namun seperti lazimnya, coverage yang diperoleh hanya mampu mencapai ke gear 2. Sebaliknya, isu yang Tun kemukakan hampir-hampir mencapai top gear dengan coverage yang begitu meluas seakan-akan coverage talian tetap telekom, bukannya coverage telefon bimbit.
Kesimpulannya, kedua-dua mereka adalah sama tetapi tidak serupa. Tun mempunyai kehebatan tersendiri, walaupun tidak sunyi daripada pelbagai skandal. Sementara Pak Lah yang hampir menjangkau tiga tahun berada di puncak kuasa, bukan tempoh masa yang terlalu pendek untuk tidak cukup menunjukkan kehebatan, tetapi sudah terlalu banyak kemusnahan, diselang-selikan dengan pelbagai isu yang agak sensitif tanpa menampakkan sinar penyelesaian (walaupun isu yang mudah, gula sebagai contoh).
Penyelesaian yang terbaik tentunya mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan, dengan SPR menjadi pengadil yang tegas dan berkecuali. Yang pasti, Malaysia bukanlah milik Abdullah atau Mahathir sahaja, terdapat 25 juta rakyat didalamnya yang akan menghakimi pilihanraya yang akan datang. Gunakanlah kebijaksanaan kita untuk menilai pimpinan terkini dan juga apa isu-isu yang dibawa oleh pembangkang. Kebijaksanaan pembangkang berdepan kritikan Tun turut diuji ketika ini. Mari kita lihat, siapa yang kena!
No comments:
Post a Comment