Saturday, September 16, 2006

SB yang hanya "minat" jaga keselamatan UMNO/BN


Polis merupakan nadi kepada keselamatan sesebuah negara. Polis Diraja Malaysia dengan keanggotaannya yang mencecah sekitar 85 ribu ke 90 ribu anggota diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman 25 juta rakyat negara ini. Apabila bercakap mengenai kekuatan anggota yang dimiliki PDRM, sering diperkatakan sememangnya mereka kekurangan anggota, sebagaimana yang diakui oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato' Seri Salleh Mat Som.

Dato' Seri Salleh yang sememangnya sinonim dengan JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah), disebabkan banyak kumpulan penjenayah/kongsi gelap yang tumpas di tangan beliau. Antaranya kumpulan Mamak, geng M16, geng 24 dan sebagainya. Diakui kekurangan anggota dan logistik turut menyumbang kepada keberkesanan tugas-tugas kepolisan. Namun demikian, sebab utama yang menyumbang kepada kekangan tersebut adalah disebabkan oleh agihan anggota yang tidak seimbang.

Dengan mengambil JSJ sebagai contoh, kekuatan yang dimiliki hanya sekitar lima ribu anggota; meliputi setiap unit dari D1 (Bahagian Pentadbiran) sehingga D9 (Bahagian Siasatan Khas ) dan NCB/Interpol. Dipecahkan pula kepada setiap IPK (Ibu Pejabat Polis Kontijen) dan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah). Lima ribu dibandingkan dengan 85 ribu ke 90 ribu, nisbahnya kurang daripada sepuluh peratus. Kemana perginya anggota yang lain?

Pendedahan yang dilakukan oleh bekas Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof Hamdan Adnan, ketika forum "IPCMC:Ya atau Tidak" menyatakan bahawa keanggotaan SB (Special Branch) mencecah kekuatan 20 ribu ke 40 ribu anggota. Forum tersebut dianjurkan oleh majlis peguam yang turut dihadiri oleh Presiden (Yeo Yang Poh) sebagai salah seorang ahli panel.



Tidak dinafikan kekuatan risikan merupakan salah satu daripada sayap utama dalam sesebuah pasukan keselamatan, namun kekuatan yang dimiliki dengan keanggotaan yang melebihi keperluan telah disalah gunakan, yang mana agenda mereka lebih kepada risikan terhadap penentang/pembangkang kepada UMNO/BN.
Begitu juga dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang memiliki kekuatan anggota lima ribu orang, sedangkan rusuhan bukan berlaku setiap hari di Malaysia. Jumlah kekuatan anggota yang hampir sama dengan JSJ.

Prof Hamdan Adnan sendiri secara sinis memberitahu para hadirin bahawa salah satu daripada tugas SB ialah memantau majlis-majlis seperti yang mereka anjurkan kini. Sindirannya dibalas dengan tawa riang seluruh hadirin.

Beliau yang telah ditamatkan kontraknya baru-baru ini, dipercayai antara lain disebabkan pendedahan yang dilakuakan olehnya terhadap nasib orang asli di daerah Pekan. Daerah Pekan sebagaimana yang diketahui umum diwakili oleh Najib. Beliau juga dikenali sebagai antara pesuruhjaya SUHAKAM yang agak vokal terhadap kerajaan.

No comments: