Monday, March 26, 2007

Ulangtahun polis: Bebaskan polis dari rasuah dan pilih kasih

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob (Harakah Daily)

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Tanggal 25 Mac tahun 2007, menggenapkan usia 200 tahun pasukan keselamatan negara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan tahun ini juga sinonim dengan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara yang membawa makna Malaysia bebas dari penjajah.

Sumbangan pihak polis suatu ketika dahulu dalam membantu proses kemerdekaan negara juga tidak boleh dinafikan, namun imej pihak polis yang dahulunya bersih dari segala anasir negatif kini terencat dengan pelbagai laporan rasuah dan tindakan 'pilih kasih' yang diamalkan badan itu.

Cadangan demi cadangan diutarakan kepada pihak tertinggi polis dan kerajaan untuk memperbaiki perjalanan dan pengurusan pihak polis, namun kemuncak kepada tuntutan Suruhanjaya Bebas Penambahbikan Perjalanan dan Pengurusan Polis iaitu megadakan IPCMC sehingga kini ditolak oleh pihak polis mahupun kerajaan.

Malah terkini imej pihak berkuasa polis itu sekali lagi tercemar dengan dakwaan keterlibatan dua angota Unit Tindakan Khas (UTK) dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu selain kes-kes tindakan kasar terhadap peserta demonstrasi aman anjuran PAS dan beberapa pembangkang serta NGO lain.

Dalam meraikan ulang tahun PDRM ke 200, PAS ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan keselamatan negara itu, dan menggariskan bahawa tugas menjamin keselamatan dan ketenteraman awam adalah merupakan tugas utama Polis yang sangat penting dalam melahirkan sebuah masyarakat yang adil dan makmur, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Beliau berkata demikian hari ini dalam satu kenyataannya berhubung perutusan sempena sambutan ulang tahun PDRM ke-200 yang akan disambut secara besar-besaran esok.

Bercakap lanjut beliau menyatakan, kemampuan polis menjalankan tanggungjawab penting secara profesional dan tanpa pilih kasih sudah pasti akan memberikan gambaran akan betapa matangnya negara ini serta mempertingkatkan lagi imejnya di mata dunia.
Sesungguhnya kemampuan pihak polis dalam menangani dan menyelesaikan beberapa kes jenayah dengan cepat dan cekap sangat meyakinkan khasnya kes-kes berat yang melibatkan pembunuhan, rompakan dan kesalahan-kesalahan seksual, katanya.

Bagaimanapun PAS percaya masih terdapat banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh pihak Polis khususnya dalam berurusan dengan parti-parti pembangkang yang sah serta masyarakat sivil secara am, katanya.

Pihak polis perlu mengamalkan sikap terbuka serta berhati-hati dan dalam waktu yang sama tidak kelihatan condong kepada mana-mana pihak apabila berhadapan dengan kes-kes protes dan demonstrasi aman oleh masyarakat sivil, ujarnya.

"Kebebasan bersuara dan berhimpun sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipelihara dan dihormati oleh semua pihak termasuklah pihak polis,"katanya tegas.

Justeru PAS berharap agar negara yang tercinta ini akan dapat melahirkan sebuah pasukan polis yang dipandang tinggi sebagai pembela undang-undang dan ketenteraman awam, yang bebas rasuah, tidak pilih kasih dan profesional, taat dan patuh hanya terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan negara, tambahnya lagi.

Saturday, March 24, 2007

Polis cabul perlembagaan, perhimpunan tidak perlu permit


Oleh Nyza Ayob

(Harakah Daily)

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) - Suhakam mendapati polis mencabuli perlembagan berikutan 'kekasaran berlebihan' ketika menyuraikan perhimpunan bantahan kenaikan harga minyak pada 28 May 2006 di KLCC yang dikenali sebagai 'Demo berdarah'.

Berdasarkan Inkuiri Awam yang bermula pada 5 Oktober dan berakhir pada 18 Oktober 2006, ahli Panel Inkuiri mendapati perhimpunan berlaku dalam keadaan aman dan tindakan polis menyuraikan perhimpunan telah mengganggu hak-hak ahli untuk berhimpun.

Inkuiri tersebut dihadiri wakil Peguam Negara, polis, Majlis Peguam dan Biro Bantuan Guaman.Sepanjang Inkuiri tersebut 54 saksi telah dipanggil dan panel menerima 52 lampiran termasuk rakaman video sepanjang kejadian.

Antara saksi yang dipanggil ialah mereka yang terlibat sewaktu perhimpunan tersebut dan penganjur perhimpunan tersebut, Protes yang diwakili penyelarasnya, Dr Hatta Ramli, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan(FRU), beberapa orang peserta perhimpunan termasuklah mereka yang mengalami kecederaan pada hari tersebut.

Ahli panel inkuiri mendapati terdapat dakwaan kekasaran berlebihan yang dilakukan oleh anggota polis serta mengenal pasti salah seorang daripada anggota polis yang terlibat telah menyebabkan kecederaan pada mangsa.

Dalam hal ini panel inkuiri mencadangkan kepada pihak polis yang mempunyai kuasa untuk menyiasat melakukan penyiasatan mereka sendiri untuk mengenal pasti anggota polis yang patut dikenakan tindakan disiplin atau tindakan lain.

Dalam sidang media ketika melancarkan laporan inkuiri tersebut hari ini, Pengerusi Inkuiri Awam bagi kes tersebut, Dato' K.C Vohrah mencadangkan permit polis tidak diperlukan bagi perhimpunan awam supaya tidak mencabuli Perlembagaan negara yang memberikan hak berhimpun.

Beliau juga mencadangkan Seksyen 27A, Akta Polis 1967 yang memerlukan orang ramai mendapat permit perhimpunan dihapuskan.

Laporan setebal 355 muka surat itu mengandungi fakta berkaitan dengan isu seperti permohonan lesen untuk mengadakan perhimpunan, menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan, serta penahanan seseorang dalam sebarang perhimpunan aman. Ahli Panel dalam inkuiri tersebut juga telah menyiasat semua bukti sepanjang prosiding.

Selain Vohrah, Pesuruhjaya yang terlibat sebagai ahli panel inkuiri ialah Dato' Choo Siew Kioh, Dato Dr Michael Yeoh Onn Kheng dan Datin Paduka Zaitoon Othman.

Pelancaran Laporan Inkuiri turut dihadiri wakil Suaram, Chang Lih Kang; bekas tahanan ISA, Saari Sungip; wakil Protes, Ronnie Liu dan Aiman Athirah.

Klik untuk gambar penuh

Sunday, March 18, 2007

Utusan yang terlampau, bancian isu agama

Keratan diatas berbunyi:-

"Majlis Fatwa Negeri Perlis melarang orang bukan Islam yang memeluk agama Islam daripada menukar nama mereka kepada berbin atau berbinti Abdullah. Mereka wajib mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka. Pada pendapat saya, keputusan ini:
  • Bagus kerana keislaman tidak patut diukur pada nama.
  • Perlukan lebih banyak kajian yang teliti, mendalam.
  • Wajar dibincangkan di peringkat, forum lebih tinggi.
  • Tidak tepat kerana orang Islam perlu ada nama Islam.
  • Tidak berfaedah, hanya mencetus lebih banyak polemik. "
Wajarkah bancian di atas dijawab oleh pembaca (yang rata-ratanya berbangsa melayu/beragama Islam)? Ketika artikel ini ditulis, jumlah undi yang diterima ialah 29537. Bukan keputusan bancian yang ingin dibincangkan disini, tetapi kewajaran isu yang diketangahkan untuk dibuat bancian.


Isu ini isu agama. Ianya hendaklah dirujuk kepada orang-orang agama yang akan memberikan penyelesaiannya berdasarkan Quran dan Sunnah (senang bukan, habis cerita), bukan berdasarkan pilihan jawapan yang diberi. Inilah yang terjadi sekiranya mereka yang cetek pengetahuan agamanya (jahil murakab) berbicara mengenai hal-hal agama. Harap-harap mereka yang terlibat dapat disedarkan, sebelum bala tuhan turun ke atas kita semua.

Friday, March 16, 2007

Jom bantah kenaikan tol 18 Mac ini, 4 petang di Summit USJ, Subang Jaya!

Oleh Harakah Daily
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes) akan meneruskan siri bantahan kenaikan harga tol kali ke lima, Ahad ini 18 Mac pada jam 4 petang di sekitar pusat membeli belah The Summit, USJ, Subang Jaya.

Jurucakap protes, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata beberapa siri himpunan yang diadakan, memberikan kesan sehingga memaksa kerajaan bersedia mendedahkan isi kandungan perjanjian konsesi Lebuh Raya LDP yang didakwa menindas rakyat.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berharap, rakyat akan datang beramai-ramai untuk menyertai bantahan tersebut kerana beliau yakin akhirnya kerajaan akan tunduk kepada tuntutan rakyat.

"Di samping itu, kita mula melihat telatah Samy Vellu (Menteri Kerjaraya) yang cuba mengelirukan rakyat berikutan kenyataannya bahawa perjanjian tersebut bukannya rahsia, tetapi disalah anggap kerana di'attached' kepada minit mesyuarat Kabinet yang sememangnya rahsia," ujarnya.

Berikutan daripada salah tanggap dokumen yang dikatakan di bawah ISA itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D5) Bukit Aman menyerbu pejabat akhbar Suara Keadilan di Brickfeilds 5 Febuari lepas untuk mencari dokumen yang dikatakan.

Bagaimanapun selepas mengeledah pejabat, mereka gagal menemui dokumen yang didakwa di bawah OSA tersebut.

Serbuan dilakukan lanjutan daripada siasatan terhadap Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan tiga pemimpin pembangkang lain di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pada hari yang sama Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Publisiti DAP, Ronnie Liu disiasat selama tiga jam setengah di Bukit Aman kerana mendedahkan butiran perjanjian tol antara kerajaan dengan Lingkaran Transkota Sdn. Bhd. yang mengendalikan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Dokumen setebal 200 muka surat itu menunjukkan kerajaan menjamin keuntungan yang berat sebelah kepada syarikat konsesi.

Dalam penggeledahan tersebut, ASP Rajagopal Aramugam dan ASP Suhaimi bersama seorang jurugambar gagal menemui sebarang dokumen setelah 25 minit mencari.

Mereka kemudian meneruskan penggeledahan di rumah Tian di Sentul, namun tiada apa-apa bahan diperolehi.

ASP Rajagopal memberitahu bahawa polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 8, Akta OSA berdasarkan kepada satu laporan polis yang telah dibuat di Damansara.

Sehubungan itu Hatta menegaskan, rakyat tidak perlu bimbang jika terdapat sebarang 'ganguan' dari pihak keselamatan ketika berhimpun di The Summit.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang dijamin haknya oleh Perlembagaan, rakyat tidak harus dilarang untuk menyatakan bantahan atau ketidakpuasan hati di atas apa juga tindakan kerajaan yang didapati menindas rakyat.

Sunday, March 11, 2007

Syed Mokhtar tersenarai orang kaya dunia

Oleh DHARMENDER SINGH
mStar

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang usahawan Malaysia yang terkenal, sekarang dimasukkan dalam senarai tokoh-tokoh terkaya di dunia bagi tahun 2007 seperti dimuatkan dalam majalah Forbes.

Lelaki berusia 55 tahun itu, yang mencipta kekayaan dalam industri beras dan gula, menjadi jutawan kesembilan dari negara ini yang dimasukkan dalam senarai Forbes 2007 berbanding lapan sahaja tahun lepas.

Beliau disenaraikan pada tangga 754 tokoh-tokoh terkaya dunia.

Tan Sri Robert Kuok, 83, mengekalkan kedudukannya sebagai orang paling kaya di Malaysia dengan nilai US$7 bilion dan mendaki 10 tangga kepada kedudukan 104 tahun ini berbanding 114 tahun lalu.

Empayar perniagaa utama Kuok termasuklah akhbar South China Morning Post, rangkaian hotel Shangri-La dan syarikat hartanah Kerry Properties.

Tokoh kedua terkaya negara ini Tan Sri Ananda Krishnan naik 28 tangga daripada kedudukan tahun lepas untuk mencapai tingkat ke-119 dalam senarai majalah perniagaan tersohor itu.

Ananda, 68, yang menguasai Maxis Communications Bhd dan Astro, dianggarkan memiliki kekayaan US$6 bilion.

Tokoh-tokoh terkaya Malaysia yang turut tersenarai Tan Sri Lim Goh Tong (pada tangga ke-204) pemilik Genting Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow (287) yang menguasai Public Bank Bhd, Tan Sri Quek Leng Chan (314) Hong Leong Group, Tan Sri Lee Shin Cheng (349) kumpulan IOI, Tan Sri Yeoh Tiong Lay dan keluarga (583) kumpulan YTL dan Tan Sri Tiong Hiew King (840) saudagar balak.

Untuk pertama kali dalam 20 tahun, India dengan 36 tokoh jutawan mengatasi Jepun yang memiliki 24 tokoh jutawan dengan Lakshmi Mittal muncul sebagai manusia terkaya di Asia.

Menurut senarai Forbes Billionaires, Asia menyaksikan kemunculan lebih ramai jutawan berbanding rantau lain di dunia kecuali Eropah, yang banyak dipacu faktor kerancakan ekonomi Russia.

Senarai '2007 Forbes Billionaires' yang dikeluarkan di New York hari ini menilai 160 jutawan dari rantau Asia Pasifik, peningkatan 45 tokoh berbanding senarai tahun lepas.

Amerika Syarikat memiliki 44 lagi tokoh jutawan, Eropah (46), Timur Tengah/Afrika (12) dan benua Amerika selain AS (6).

Terdapat 946 jutawan dalam senarai tersebut, peningkatan 153 tokoh berbanding tahun lalu, dengan jumlah kekayaan US$3.5 trilion atau 35% lebih kaya berbanding 2006 susulan peningkatan pasaran hartanah dan ekuiti dan juga kenaikan harga komoditi.

AS terus mendahului negara-negara lain dengan 415 jutawan, diikuti Eropah (242), Asia (160), Timur Tengah/Afrika (68) dan benua Amerika selain AS (61).

Friday, March 09, 2007

Al-Fatihah

Khamis [8 Mac 2007] -- Noraida, 51, anak kepada Tan Sri A Samad Ismail - Tokoh Wartawan Negara, dan kakak kepada Nuraina - blogger 3540 Jalan Sudin, meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya, pada 2.55 petang, Khamis, 8 Mac 2007, akibat penyakit kanser.

Jenazahnya telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ21 malam ini. Allahyarhamah meninggalkan suami, Abdul Aziz, dan empat orang cahaya mata.

Mudah-mudahan Allah SWT akan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Moga-moga Allayarhamah juga akan ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Petikan dari Dato' Ruhanie Ahmad (http://kuda-kepang.blogspot.com/)

Friday, March 02, 2007

Lagu UMNO baru

Bersatu Kita Bersatu
Dengan Setia Berganding Bahu
Tipu Terus Menipu
Kita Tipu Melayu

Bersama Kita Bersama
Mendukung Hasrat Semua
Berjasa Pada Kroni
Anak Isteri Dan 'Bini'

Lambang Kita Yang Gagah
Dipandang Keji Dan Haprak
Bersatu Bersetia Khianat
Cogan Katanya

UMNO Terus Lara
Rompak Rakyat Malaysia

p/s: Lagu dinyanyikan mengikut melodi asal