mStar
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang usahawan Malaysia yang terkenal, sekarang dimasukkan dalam senarai tokoh-tokoh terkaya di dunia bagi tahun 2007 seperti dimuatkan dalam majalah Forbes.
Lelaki berusia 55 tahun itu, yang mencipta kekayaan dalam industri beras dan gula, menjadi jutawan kesembilan dari negara ini yang dimasukkan dalam senarai Forbes 2007 berbanding lapan sahaja tahun lepas.
Beliau disenaraikan pada tangga 754 tokoh-tokoh terkaya dunia.
Tan Sri Robert Kuok, 83, mengekalkan kedudukannya sebagai orang paling kaya di Malaysia dengan nilai US$7 bilion dan mendaki 10 tangga kepada kedudukan 104 tahun ini berbanding 114 tahun lalu.
Empayar perniagaa utama Kuok termasuklah akhbar South China Morning Post, rangkaian hotel Shangri-La dan syarikat hartanah Kerry Properties.
Tokoh kedua terkaya negara ini Tan Sri Ananda Krishnan naik 28 tangga daripada kedudukan tahun lepas untuk mencapai tingkat ke-119 dalam senarai majalah perniagaan tersohor itu.
Ananda, 68, yang menguasai Maxis Communications Bhd dan Astro, dianggarkan memiliki kekayaan US$6 bilion.
Tokoh-tokoh terkaya Malaysia yang turut tersenarai Tan Sri Lim Goh Tong (pada tangga ke-204) pemilik Genting Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow (287) yang menguasai Public Bank Bhd, Tan Sri Quek Leng Chan (314) Hong Leong Group, Tan Sri Lee Shin Cheng (349) kumpulan IOI, Tan Sri Yeoh Tiong Lay dan keluarga (583) kumpulan YTL dan Tan Sri Tiong Hiew King (840) saudagar balak.
Untuk pertama kali dalam 20 tahun, India dengan 36 tokoh jutawan mengatasi Jepun yang memiliki 24 tokoh jutawan dengan Lakshmi Mittal muncul sebagai manusia terkaya di Asia.
Menurut senarai Forbes Billionaires, Asia menyaksikan kemunculan lebih ramai jutawan berbanding rantau lain di dunia kecuali Eropah, yang banyak dipacu faktor kerancakan ekonomi Russia.
Senarai '2007 Forbes Billionaires' yang dikeluarkan di New York hari ini menilai 160 jutawan dari rantau Asia Pasifik, peningkatan 45 tokoh berbanding senarai tahun lepas.
Amerika Syarikat memiliki 44 lagi tokoh jutawan, Eropah (46), Timur Tengah/Afrika (12) dan benua Amerika selain AS (6).
Terdapat 946 jutawan dalam senarai tersebut, peningkatan 153 tokoh berbanding tahun lalu, dengan jumlah kekayaan US$3.5 trilion atau 35% lebih kaya berbanding 2006 susulan peningkatan pasaran hartanah dan ekuiti dan juga kenaikan harga komoditi.
AS terus mendahului negara-negara lain dengan 415 jutawan, diikuti Eropah (242), Asia (160), Timur Tengah/Afrika (68) dan benua Amerika selain AS (61).
1 comment:
kenapa berminat dengan senarai orang orang kaya nih? ada hati ke nak masuk senarai...:-)
Post a Comment