Oleh Wan Nordin Wan Yaacob (Harakah Daily)
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Tanggal 25 Mac tahun 2007, menggenapkan usia 200 tahun pasukan keselamatan negara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan tahun ini juga sinonim dengan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara yang membawa makna Malaysia bebas dari penjajah.
Sumbangan pihak polis suatu ketika dahulu dalam membantu proses kemerdekaan negara juga tidak boleh dinafikan, namun imej pihak polis yang dahulunya bersih dari segala anasir negatif kini terencat dengan pelbagai laporan rasuah dan tindakan 'pilih kasih' yang diamalkan badan itu.
Cadangan demi cadangan diutarakan kepada pihak tertinggi polis dan kerajaan untuk memperbaiki perjalanan dan pengurusan pihak polis, namun kemuncak kepada tuntutan Suruhanjaya Bebas Penambahbikan Perjalanan dan Pengurusan Polis iaitu megadakan IPCMC sehingga kini ditolak oleh pihak polis mahupun kerajaan.
Malah terkini imej pihak berkuasa polis itu sekali lagi tercemar dengan dakwaan keterlibatan dua angota Unit Tindakan Khas (UTK) dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu selain kes-kes tindakan kasar terhadap peserta demonstrasi aman anjuran PAS dan beberapa pembangkang serta NGO lain.
Dalam meraikan ulang tahun PDRM ke 200, PAS ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan keselamatan negara itu, dan menggariskan bahawa tugas menjamin keselamatan dan ketenteraman awam adalah merupakan tugas utama Polis yang sangat penting dalam melahirkan sebuah masyarakat yang adil dan makmur, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Beliau berkata demikian hari ini dalam satu kenyataannya berhubung perutusan sempena sambutan ulang tahun PDRM ke-200 yang akan disambut secara besar-besaran esok.
Bercakap lanjut beliau menyatakan, kemampuan polis menjalankan tanggungjawab penting secara profesional dan tanpa pilih kasih sudah pasti akan memberikan gambaran akan betapa matangnya negara ini serta mempertingkatkan lagi imejnya di mata dunia.
Sesungguhnya kemampuan pihak polis dalam menangani dan menyelesaikan beberapa kes jenayah dengan cepat dan cekap sangat meyakinkan khasnya kes-kes berat yang melibatkan pembunuhan, rompakan dan kesalahan-kesalahan seksual, katanya.
Bagaimanapun PAS percaya masih terdapat banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh pihak Polis khususnya dalam berurusan dengan parti-parti pembangkang yang sah serta masyarakat sivil secara am, katanya.
Pihak polis perlu mengamalkan sikap terbuka serta berhati-hati dan dalam waktu yang sama tidak kelihatan condong kepada mana-mana pihak apabila berhadapan dengan kes-kes protes dan demonstrasi aman oleh masyarakat sivil, ujarnya.
"Kebebasan bersuara dan berhimpun sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipelihara dan dihormati oleh semua pihak termasuklah pihak polis,"katanya tegas.
Justeru PAS berharap agar negara yang tercinta ini akan dapat melahirkan sebuah pasukan polis yang dipandang tinggi sebagai pembela undang-undang dan ketenteraman awam, yang bebas rasuah, tidak pilih kasih dan profesional, taat dan patuh hanya terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan negara, tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment