Friday, April 06, 2007

Bloggers kini sudah ada ‘payung’ sendiri

Seramai 40 orang penulis laman blog di internet berkumpul di Kelab Wartawan Kebangsaan di Kuala Lumpur petang Khamis dimana kata sepakat dicapai bagi penubuhan sebuah badan untuk menyatukan dan menjadi suara rasmi para bloggers di negara ini.

Perikatan Bloggers Kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris National Alliance of Bloggers – itulah nama yang dipersetujui.

Badan itu kelak akan didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan dan akan menjalankan berbagai aktiviti termasuk memberi kursus kewartawan kepada para penulis laman blog yang kurang pengetahuan dalam selok belok menulis berita,rencana dan komentar cara yang betul.

Idea penubuhan sebuah badan untuk menjadi payung kepada para bloggers tempatan muncul berikutan tindakan saman beberapa pegawai kanan New Straits Times keatas penulis laman blog Ahirudin Attan (Rocky’s Bru), dan Jeff Ooi ( Screenshots).


Selain itu ia didorong oleh hasrat untuk bersatu suara dalam menangkis komen-komen negatif oleh para pemimpin politik kerajaan terhadap para bloggers tempatan.

Bagi mereka para bloggers juga mempunyai peranan tersendiri sebagai ‘media rakyat’.

Para penulis laman blog terdiri dari berbagai kategori.Kebanyakannya adalah ‘bloggers ringan’ yang menulis hal-hal peribadi mereka sendiri.Kontroversi bertumpu kepada ‘media bloggers’ yang menulis hal-hal politik serta komentar yang kritikal.

Dalam kategori ini pula ada penulis blog dari kalangan bekas wartawan berpengalaman yang menulis secara profesional dan ada juga penulis laman blog tak bernama yang dikira ‘pakai hentam’ saja tanpa mengikuti norma etika kewartawan sebenar.

Laman blog di internet boleh diwujudkan dengan pantas dan secara percuma oleh sesiapa saja mengunakan enjin seperti Blogspot,Wordpress dan lain-lain.

Pertemuan selama hampir dua jam itu telah memilih Ahiruddin yang juga bekas pengarang akhbar Malay Mail sebagai Presiden jawatankuasa protem.Timbalannya pula Jeff Ooi,Setiausaha Nuraina Samad dan Bendahari Tony Yew.

Lapan orang ahli jawatankuasa protem pula terdiri dari Patrick Teoh, Bernard Khoo, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, Syed Jamal al-Idrus, Rajahram Ramalingam, Annuratha K, Ami Husni, and Soon Li Tsin.

Ahiruddin dalam ucapan aluannya antara lain menyatakan tentang perlunya para bloggers bersatu untuk menjaga hak dan kepentingan mereka.


Beliau juga menceritakan pengalamannya merasa keseorangan pada peringkat awal menghadapi tindakan saman NST.

Ini sehinggalah rakan-rakan bloggers lain kemudian tampil memberi sokongan moral.

Perikatan Bloggers Kebangsaan akan beroperasi seperti mana-mana persatuan lain.Ia kelak akan mempunyai pejabat sendiri.

Menurut Ahiruddin perlembagaan badan itu akan digubal dan permohonan pendaftarannya akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan secepat mungkin.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Datuk Ruhanie Ahmad (Kuda Kepang) dan Datuk Rejal Arbee yang kini menulis di sebuah laman web.

No comments: