Sunday, April 22, 2007

Azan hak umat Islam yang perlu dihormati

Oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakan Ahli Parlimen DAP dari Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang masih lagi membangkitkan isu azan yang didakwa mengganggu ketenteraman masyarakat bukan Islam di negara ini.


Perkara ini tidak sepatutnya dibangkitkan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen Kesebelas Penggal Keempat, Mesyuarat Pertama bertarikh 10 April 2007 bagi memperkukuhkan hujah untuk mewujudkan 'Interfaith Council' (IFC).

Walau bagaimanapun, Tan mengakui bahawa perkara ini dibangkitkan berdasarkan aduan seorang penduduk yang tidak puas hati dengan azan subuh di Taman Putera, Jinjang Utara pada hari tersebut. Adakah kerana kehendak seorang penyokong beliau, maka azan ini perlu diperlahankan?

Tan perlu memahami adat dan budaya semua kaum memandangkan beliau adalah seorang ahli Parlimen yang mewakili satu kawasan yang turut dihuni oleh umat Islam juga.

Wajib bagi beliau belajar untuk memahami budaya umat Islam sama seperti umat Islam memahami budaya masyarakat Cina yang melakukan banyak upacara yang boleh dikatakan mengganggu suasana siang dan malam kaum lain.

Sebagai contoh, upacara penghormatan bagi ahli keluarga kaum Cina yang meninggal dunia, acara Tahun Baru Cina yang dimeriahkan dengan persembahan gendang Cina, upacara meraikan pesta hantu dan sebagainya.

Umat Islam walaupun ada yang tidak puas hati dengan beberapa amalan kaum Cina tidak pula membangkitnya kerana memahami bahawa itu adalah adat kaum Cina yang harus dihormati.

Jadi DPPWP berasakan bahawa tiada sebab untuk Tan cuba menghalang azan dikumandangkan kerana ia ditujukan kepada umat Islam bagi memaklumkan waktu sembahyang dan mengajak mereka bersembahyang di masjid atau surau.

Ini adalah amalan agama umat Islam yang patut dihormati dan setelah 50 tahun negara merdeka kita sebenarnya telah menerima kontrak sosial ini secara bersama. Oleh itu tiada sebab untuk Tan cuba menafikan hak umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

DPPWP akan mengaturkan satu pertemuan berupa dialog bersama Tan serta pimpinan DAP lainnya bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini secara baik. Demontrasi adalah satu pilihan jika isu ini gagal diselesaikan melalui dialog tersebut.

DPPWP mahu agar Tan menarik balik cadangan beliau agar daripada lima kali azan yang dilaungkan setiap hari, satu azan dilaungkan dengan perlahan agar tidak mengganggu kaum lain.

Beliau juga harus meminta maaf kepada umat Islam atas keterlanjuran desakan beliau yang didasari oleh kehendak seorang penyokong beliau yang tidak memaham amalan dan hak umat Islam.

Secara kesimpulannya DPPWP menolak cadangan Tan dan berharap agar pihak kerajaan tidak melayan permohonan beliau agar azan dikumandangkan dengan perlahan kerana ia adalah salah satu dari syiar Islam yang amat penting.

DPPWP juga berharap agar isu-isu berkaitan dengan agama dan amalan umat Islam atau agama lain tidak dibangkitkan atau dipertikaikan bagi mengelakkan perpecahan rakyat yang mengundang sengketa yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Perbezaan pendapat dan fahaman agama adalah satu perkara yang kita harus fahami dan hormati.

Semoga hubungan antara kaum dan agama di negara dapat terus dijaga dan dipelihara bagi memastikan kelestarian hubungan yang harmoni dan keamanan negara dapat terus dikecapi hingga ke generasi mendatang.

No comments: