Oleh Pemuda PAS Jasin
Mukhsin satu nama baru dalam arena perfileman negara yang telah berjaya memenangi anugerah pada Pesta Filem Antarabangsa di Berlin, Jerman baru-baru ini.
Syabas diucapkan kepada pengarah Yasmin Ahmad kerana telah berjaya meletakan filem Malaysia khususnya filem Melayu ke peringkat antarabangsa, memandangkan sebelum ini filem Melayu hanyalah bersifat 'jaguh kampung'.
Beliau telah berjaya membawa keluar filem Melayu dari kongkongan pemikiran lama yang hanya berkisar dan membicarakan persoalan mengenai kisah cinta remaja, cemburu, dendam, orang ke tiga, kecurangan serta perbezaan antara dua darjat.
Ceritanya bermula dari sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina tempat Orked belajar dan berkisar mengenai perhubungan 'cinta monyet' seawal usia di sekolah rendah antara Mukhsin (Mohd Shafie Naswip) dan Orked (Sharifah Aryana).
Keluarga di kedua-dua belah pihak merestui dan berfikiran terbuka atau 'sporting' dengan membiarkan sahaja Mukhsin membawa Orked ke sana-sini hatta ke atas pokok dan ke dalam semak sedangkan perbuatan itu menghampiri perzinaan.
Digambarkan juga ayah Orked, Pak Atan (Irwan Iskandar Abidin) berjemaah sekeluarga tapi pada masa sama membiarkan sahaja isterinya tidak menutup aurat, berpakaian seksi dan menari-nari dengan begitu menghairahkan depan kawannya di dalam hujan, bukankah semuanya ini fahaman 'Liberalisme Agama' yang ingin diterapkan dalam pemikiran orang Islam.
Babak keluarga Jason (Ng Choo Seong) pula bertambah mengalutkan lagi keadaan dengan 'beromen' di depan Mukhsin dan Orked tanpa segan silu seolah mereka pasangan paling bahgia di dunia.
Dan yang menakutkan status pegangan agamanya tidak jelas sedangkan isterinya (Amani) beragama Islam Kerana ketika Mukhsin dan Orked memberi salam cuma isteri Jason saja yang membalasnya sedangkan Jason cuma membisu tanpa sebarang reaksi, seperti membayangkan dia bukan orang Islam.
Adakah ini bibit kesinambungan 'Pluralisme Agama' yang cuba disemai dan ditanam dalam masyarakat Malaysia sebab jika diteliti dari Sepet dan Gubra ada kewarasannya.
Babak Mak Inom berpura-pura merotan Orked dilihat sebagai mengelikan hati tapi sebenarnya penonton diheret supaya mentertawakan budaya ibubapa orang Melayu yang akan membuat aduan dan perbincangan sekiranya berlaku pertengkaran di antara anak-anak mereka.
Lakonan Nurkhiriah memperlekehkan Husin iaitu abang Mukhsin ketika diperli kerana menyukai lelaki Cina (Alan Yun) begitu merendahkan dan menghina bangsa Melayu.
Fahaman Agama
Filem adalah merupakan salah-satu mekanisme yang berupaya mengarap pelbagai kisah suka-duka kehidupan untuk dikongsi bersama agar dapat dihayati sebagai pengajaran dan panduan bagi menentukan halatuju pemikiran seseorang dalam kehidupan.
Marah, meluat, kesal, bimbang, terperanjat serta gerun antara ungkapan yang digunakan untuk mengambarkan filem yang sedang ditayangkan dan diperkatakan oleh ramai orang ini.
Keberanian Yasmin yang cuba lari dari persekitaran budaya Melayu yang kolot serta ketinggalan zaman (pada pandangan Yasmin) berjaya diterjemahkan tetapi malangnya dengan melalui cara kurang ajar atau membelakangkan batas-batas Islam dan adat Melayu.
Tidak dapat dinafikan bahawa Mukhsin telah mencemar kesucian adat budaya Melayu yang dibanggakan selama ini.
Mukhsin penganut Islam Hadhari mempunyai agenda tersirat dan terancang untuk memupuk serta menerapkan fahaman dan budaya 'Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme agama yang digelarkan sebagai penyakit (Siplis) seterusnya membawa kepada kebinasaan 'murtad' dalam kehidupan umat Islam (Aids).
Tokoh budayawan, karyawan, seniman mahupun para ulama digesa 'turun padang' menangani segera ancaman 'Tsunami Akidah' ini, bahayanya telah jelas terlihat, bau busuk dan hanyirnya telah dapat dihidu serta meloyakan malahan begitu menjijikkan.
Wahai orang Islam bangkitlah, ini bukan persoalan yang menyentuh mana-mana pihak tapi menyentuh aqidah umat Islam, kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti dan lebih menyedihkan sehingga kini tiada usaha dibuat bagi menghalang ancaman tersebut.
No comments:
Post a Comment