Friday, March 16, 2007

Jom bantah kenaikan tol 18 Mac ini, 4 petang di Summit USJ, Subang Jaya!

Oleh Harakah Daily
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes) akan meneruskan siri bantahan kenaikan harga tol kali ke lima, Ahad ini 18 Mac pada jam 4 petang di sekitar pusat membeli belah The Summit, USJ, Subang Jaya.

Jurucakap protes, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata beberapa siri himpunan yang diadakan, memberikan kesan sehingga memaksa kerajaan bersedia mendedahkan isi kandungan perjanjian konsesi Lebuh Raya LDP yang didakwa menindas rakyat.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berharap, rakyat akan datang beramai-ramai untuk menyertai bantahan tersebut kerana beliau yakin akhirnya kerajaan akan tunduk kepada tuntutan rakyat.

"Di samping itu, kita mula melihat telatah Samy Vellu (Menteri Kerjaraya) yang cuba mengelirukan rakyat berikutan kenyataannya bahawa perjanjian tersebut bukannya rahsia, tetapi disalah anggap kerana di'attached' kepada minit mesyuarat Kabinet yang sememangnya rahsia," ujarnya.

Berikutan daripada salah tanggap dokumen yang dikatakan di bawah ISA itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D5) Bukit Aman menyerbu pejabat akhbar Suara Keadilan di Brickfeilds 5 Febuari lepas untuk mencari dokumen yang dikatakan.

Bagaimanapun selepas mengeledah pejabat, mereka gagal menemui dokumen yang didakwa di bawah OSA tersebut.

Serbuan dilakukan lanjutan daripada siasatan terhadap Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan tiga pemimpin pembangkang lain di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pada hari yang sama Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Publisiti DAP, Ronnie Liu disiasat selama tiga jam setengah di Bukit Aman kerana mendedahkan butiran perjanjian tol antara kerajaan dengan Lingkaran Transkota Sdn. Bhd. yang mengendalikan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Dokumen setebal 200 muka surat itu menunjukkan kerajaan menjamin keuntungan yang berat sebelah kepada syarikat konsesi.

Dalam penggeledahan tersebut, ASP Rajagopal Aramugam dan ASP Suhaimi bersama seorang jurugambar gagal menemui sebarang dokumen setelah 25 minit mencari.

Mereka kemudian meneruskan penggeledahan di rumah Tian di Sentul, namun tiada apa-apa bahan diperolehi.

ASP Rajagopal memberitahu bahawa polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 8, Akta OSA berdasarkan kepada satu laporan polis yang telah dibuat di Damansara.

Sehubungan itu Hatta menegaskan, rakyat tidak perlu bimbang jika terdapat sebarang 'ganguan' dari pihak keselamatan ketika berhimpun di The Summit.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang dijamin haknya oleh Perlembagaan, rakyat tidak harus dilarang untuk menyatakan bantahan atau ketidakpuasan hati di atas apa juga tindakan kerajaan yang didapati menindas rakyat.

1 comment:

Anonymous said...

Interesting to know.