Ini yang dinamakan IMPAK MAKSIMA!
Sekali lagi, ini yang dinamakan IMPAK MAKSIMA!
Malaysia boleh dikategorikan antara negara yang agak kaya. Tetapi, pengagihan kekayaan ekonomi hanya dinikmati oleh segelintir individu. Reformasi kepada pucuk pimpinan diperlukan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang pro rakyat.
Oleh Harakah Daily
Belum pun reda isu klip video VK Lingam, dengan penubuhan royal commission yang masih di peringkat awal (dibandingkan dengan tempoh pendedahan isu tersebut), badan kehakiman dikejutkan pula dengan perlantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan (jawatan kedua tertinggi selepas Ketua Hakim Negara)
Tan Sri Zaki baru sahaja dilantik secara terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi negara) sekitar September lalu. Perlantikan ke jawatan tersebut yang masih dipertikaikan banyak pihak, kini dikejutkan pula dengan kenaikan pangkat beliau ke jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dalam tempoh yang cukup singkat.
Ketua Hakim Negara (Datuk Abdul Hamid Mohamad) yang kini berusia 65 tahun, dijangka dapat berkhidmat sekitar 1 tahun ++. Selepas itu, hampir pasti badan kehakiman negara akan diketuai oleh Tan Sri Zaki.
Beliau yang dikenali sangat rapat dengan parti pemerintah serta kontroversi kes pernikahannya, dibimbangi akan berlaku bias terhadap kes-kes yang melibatkan mereka-mereka yang rapat dengan parti pemerintah. Badan kehakiman yang semestinya bebas, dengan kata lain berlakunya pengasingan kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan juga badan kehakiman.
Sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang juga Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, walau apa pun yang diperkatakan mengenai badan kehakiman, pada akhirnya persepsi awam merupakan indikator yang paling penting dan perlu diambil kira apabila memperkatakan mengenai kebebasan badan kehakiman.
Oleh Datuk Ruhanie Ahmad
Hindraf tak Hindraf, kita pasti terus kuningkan Sabtu kita. Teruskanlah memakai warna kuning pada setiap Sabtu, kerana kuning adalah lambang ledakan gelombang rakyat yang mahu menuntut koreksi total kepada segala kepincangan dan kelemahan yang ada di negara kita.
Kuning adalah warna solidariti kita. Kuning adalah warna konsistensi perjuangan kita. Kuning adalah warna hati kita yang amat rindukan pembelaan terhadap pelbagai masalah rakyat jelata – dari soal kos hidup yang kian melambung kepada soal harga petrol yang kian meroket dan soal pembasmian korupsi yang hanya indah khabar dari rupa.
Kepada orang Johor, kuning adalah lambang protes kita terhadap WPI yang diwujudkan untuk Singapura. Kepada orang Selangor, kuning adalah warna protes kita terhadap berbillion ringgit wang rakyat yang ditelan naga PKFZ.
Kepada orang Terengganu, kuning adalah warna protes kita terhadap berbillion ringgit wang ehsan yang disambar puting beliung monsoon cup. Kuning juga lambang protes kita terhadap bedilan peluru hidup secara semberono kepada rakyat jelata yang tidak berdosa.
Kepada orang Melaka, kuning adalah warna protes kita terhadap tanah Majlis Agama Islam yang disewakan kepada kilang babi milik kapitalis Singapura.
Kepada rakyat jelata Malaysia seluruhnya, di mana sahaja mereka berada, kuning adalah lambang protes kita kepada segala kepincangan dan kelemahan yang perlu dirobah, diperbetul dan diatasi secara komprehensif dan segera.
Kuning dan kuning setiap Sabtu sampai banyak pihak jadi kenoneng dan banyak pihak jadi pening kerana yang kenoneng dan pening itulah punca segala kesengsaraan pada ketika ini.
Perhimpunan Hindraf pada 25 November lepas agak kontroversi. Pelbagai reaksi; ada yang menyokong, tidak kurang yang membantah. Keseluruhannya, boleh dikatakan ibu negara kini dilanda demam perhimpunan rakyat, yang mana tiga lagi perhimpunan dijangka berlangsung bulan ini.
Saya secara peribadi kurang bersetuju dengan sebahagian daripada tuntutan mereka.Walaubagaimanapun, sebagai sebuah negara yang menganggotai OIC (Pertubuhan Negara-negara Islam) dan mengamalkan demokrasi berparlimen, pihak pemerintah seharusnya menghormati hak mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat. Saya juga turut berpendirian seperti di atas, sebagaimana yang termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bersuara dan berhimpun).
Saya juga ingin mencadangkan kepada para pembaca untuk meneliti artikel yang ditulis oleh blogger The Scribe (Dato' A. Kadir Jasin) berkenaan Hindraf; satu analisis yang padat dan menarik untuk diteliti oleh seluruh warga Malaysia.