Oleh Datuk Ruhanie Ahmad
Hindraf tak Hindraf, kita pasti terus kuningkan Sabtu kita. Teruskanlah memakai warna kuning pada setiap Sabtu, kerana kuning adalah lambang ledakan gelombang rakyat yang mahu menuntut koreksi total kepada segala kepincangan dan kelemahan yang ada di negara kita.
Kuning adalah warna solidariti kita. Kuning adalah warna konsistensi perjuangan kita. Kuning adalah warna hati kita yang amat rindukan pembelaan terhadap pelbagai masalah rakyat jelata – dari soal kos hidup yang kian melambung kepada soal harga petrol yang kian meroket dan soal pembasmian korupsi yang hanya indah khabar dari rupa.
Kepada orang Johor, kuning adalah lambang protes kita terhadap WPI yang diwujudkan untuk Singapura. Kepada orang Selangor, kuning adalah warna protes kita terhadap berbillion ringgit wang rakyat yang ditelan naga PKFZ.
Kepada orang Terengganu, kuning adalah warna protes kita terhadap berbillion ringgit wang ehsan yang disambar puting beliung monsoon cup. Kuning juga lambang protes kita terhadap bedilan peluru hidup secara semberono kepada rakyat jelata yang tidak berdosa.
Kepada orang Melaka, kuning adalah warna protes kita terhadap tanah Majlis Agama Islam yang disewakan kepada kilang babi milik kapitalis Singapura.
Kepada rakyat jelata Malaysia seluruhnya, di mana sahaja mereka berada, kuning adalah lambang protes kita kepada segala kepincangan dan kelemahan yang perlu dirobah, diperbetul dan diatasi secara komprehensif dan segera.
Kuning dan kuning setiap Sabtu sampai banyak pihak jadi kenoneng dan banyak pihak jadi pening kerana yang kenoneng dan pening itulah punca segala kesengsaraan pada ketika ini.
No comments:
Post a Comment