Belum pun reda isu klip video VK Lingam, dengan penubuhan royal commission yang masih di peringkat awal (dibandingkan dengan tempoh pendedahan isu tersebut), badan kehakiman dikejutkan pula dengan perlantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan (jawatan kedua tertinggi selepas Ketua Hakim Negara)
Tan Sri Zaki baru sahaja dilantik secara terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi negara) sekitar September lalu. Perlantikan ke jawatan tersebut yang masih dipertikaikan banyak pihak, kini dikejutkan pula dengan kenaikan pangkat beliau ke jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dalam tempoh yang cukup singkat.
Ketua Hakim Negara (Datuk Abdul Hamid Mohamad) yang kini berusia 65 tahun, dijangka dapat berkhidmat sekitar 1 tahun ++. Selepas itu, hampir pasti badan kehakiman negara akan diketuai oleh Tan Sri Zaki.
Beliau yang dikenali sangat rapat dengan parti pemerintah serta kontroversi kes pernikahannya, dibimbangi akan berlaku bias terhadap kes-kes yang melibatkan mereka-mereka yang rapat dengan parti pemerintah. Badan kehakiman yang semestinya bebas, dengan kata lain berlakunya pengasingan kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan juga badan kehakiman.
Sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang juga Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, walau apa pun yang diperkatakan mengenai badan kehakiman, pada akhirnya persepsi awam merupakan indikator yang paling penting dan perlu diambil kira apabila memperkatakan mengenai kebebasan badan kehakiman.
No comments:
Post a Comment