Oleh Harakah Daily
Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria menyokong kenyataan Raja Muda Perak, Raja Nazrin bahawa tokoh agama dan pusat pendidikan Islam sebagai pencetus mulanya penentangan terhadap penjajah.
Jelasnya, tokoh agama seperti Tok Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Kenali dan ramai lagi termasuk Dr. Baharuddin Helmi, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr. Zulkifli Mohamad, Baharudin Abdul Latif yang menjadikan Maahad Ehya Ahsayrif, Gunung Semangul sebagai tempat membakar semangat perjuangan menentang Inggeris.
Mereka seperti Dato' Bahaman dan rakan-rakan secara langsung terlibat mengusir penjajah walaupun pada waktu itu menggunakan senjata tidak sehebat penjajah.
"Rakyat perlu tahu kemerdekaan Malaysia juga datangnya dari tokoh agama atau pejuang-pejuang Melayu terdahulu. Memandangkan mereka di kalangan ulamak maka nama mereka dipadam sebaliknya yang timbul golongan sosialis atau sekularisme, " terangnya ketika ditemui di majlis 'Forum Gabungan Budaya Popular dalam Pembangunan Insan' di Univesiti Sains Malaysia (USM) pagi tadi.
Turut menjadi penal ialah Pensyarah Ilmu Kemanusiaan (USM), Ustaz Alias Zakaria dan pensyarah (UIA), Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Salleh.
Menurutnya, kebanyakan negara Islam golongan itu yang menjadi pembakar semangat penentangan serta menuntut kemerdekaan bukannya golongan sosialis atau sekularisme.
Ini terbukti di Indonesia dan lain lain negara cuma bila negara mencapai kemerdekaan nama golongan terbabit dihilangkan.
"Di Malaysia juga berlaku macam itu. Mana ada orang sebut lagi nama-nama besar seperti Tok Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau atau seangkatan 50-an seperti Dr. Baharudin Helmi, Ustaz Abu Bakar Al-Basqir, Baharudin Abdul Latif atau Dr. Zulkifli Mohamad yang bertungkus lumus sehingga ada yang dipenjarakan demi menyelamatkan maruah negara," katanya.
Oleh itu, generasi muda harus membetulkan fakta tersebut agar orang yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka dikenang bukan dicaci ekoran berbagai fitnah yang mereka hadapi kerana terlibat dengan penentangan yang berterusan.
No comments:
Post a Comment